Nahas FRU: 'Menitis air mata ketika keluarkan mangsa seorang demi seorang' - Bomba

Ada kalangan anggota bomba menitiskan air mata selepas mendengar rintihan kesakitan daripada mangsa dan mengeluarkan mereka seorang demi seorang.Gambar kecil: Mohd Khusni.
Ada kalangan anggota bomba menitiskan air mata selepas mendengar rintihan kesakitan daripada mangsa dan mengeluarkan mereka seorang demi seorang.Gambar kecil: Mohd Khusni.
A
A
A

TELUK INTAN - Suasana pilu menyelubungi operasi menyelamat dalam nahas membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus–Sungai Lampam di sini, apabila anggota bomba yang terlibat tidak dapat menahan sebak semasa mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Khusni Saidin berkata, ada kalangan anggota menitiskan air mata selepas mendengar rintihan kesakitan daripada mangsa dan mengeluarkan mereka seorang demi seorang.

"Kami cuba sedaya upaya memberikan bantuan, tapi keadaan memang sukar... ada dalam kalangan anggota kami sendiri yang tidak dapat menahan sebak.

"Menitis air mata ketika membantu mereka. Anggota FRU lain juga menangis melihat rakan mereka," katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan.

Beliau yang menyertai operasi tersebut berkata, suasana ketika itu kelam-kabut dengan anggota FRU yang terlibat nahas bergelimpangan di atas jalan dan tersepit.

Katanya, paling tidak dapat dilupakan apabila pemandu kenderaan FRU yang ketika itu masih dalam keadaan sedar merayu minta diselamatkan.

"Sepanjang 18 tahun saya bertugas sebagai anggota bomba, ini kali pertama saya terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa dalam jumlah yang ramai melibatkan rakan anggota pasukan keselamatan," katanya.

Dalam nahas jam 8.51 pagi itu, lapan anggota FRU disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang lagi iaitu pemandu kenderaan FRU meninggal dunia di Hospital Teluk Intan.

Artikel Berkaitan:

Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila sebuah lori muatan batu kerikil mengalami kegagalan fungsi stereng sehingga masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan FRU yang membawa 18 anggota.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!