Isteri redah asap selamatkan suami OKU, anak dalam kebakaran

Mangsa, Norhayati Abd Rahman, 41, berkata, dia memimpin suaminya, Rosmadi Abd Razak, 42, yang menghidap masalah saraf sebaik menyedari dapur didiami mereka dipenuhi asap.
"Masa itu saya tak dapat fikir apa-apa, saya paksa suami gagahkan diri untuk keluar dari rumah yang sedang terbakar.
"Mujurlah saya berjaya selamatkan dia dan anak, Nur Aisy Aira, 7," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di sini pada malam Ahad.
Norhayati berkata, ketika kejadian dia dan suami serta anak mereka baru sahaja masuk tidur sebelum terhidu bau hangit.
"Tiba-tiba saya dengar bunyi seperti percikan api. Bila ke dapur, saya nampak asap tebal dah mula penuhi rumah.
"Suami saya menghidap masalah saraf dan tak mampu berjalan seperti biasa. Tapi saya pimpin dia dan paksa dia keluar perlahan-lahan sebab saya takut rumah meletup atau kebakaran lebih teruk," katanya.

Menurut Norhayati, dia tidak sempat menyelamatkan sebarang harta benda kerana api merebak dengan cepat.
"Sekarang saya dan keluarga menumpang di rumah adik. Suami dah tak boleh bekerja sejak enam tahun lalu dan saya satu-satunya yang menyara keluarga,"katanya yang bekerja sebagai tukang cuci.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, tiga rumah teres musnah dijilat api, namun semua penghuninya sempat menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Chukai, Mohamad Hanif Che Khalid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.03 malam sebelum mengerahkan 11 anggota dari BPP Kemaman dan Kijal ke lokasi kejadian.
"Sebaik tiba, api sedang marak. Usaha memadam kebakaran dilakukan menggunakan air dari pili bomba dan tangki jentera.
"Kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke rumah lain dalam tempoh 30 minit. Operasi itu ditamatkan sepenuhnya jam 12.14 tengah malam.
"Setakat ini punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!