Bagaimana seseorang mati, begitulah kita akan dibangkitkan

MANUSIA akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan sebagaimana mereka meninggal dunia. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
MANUSIA akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan sebagaimana mereka meninggal dunia. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
A
A
A

KISAH pemergian Allahyarham Nurly Shahirah Azman, 23, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) di Gerik, Perak awal pagi Isnin lalu bukan sahaja menyayat hati, malah menginsafkan ramai.

Lebih menyentuh jiwa, insan muda yang menghafaz 30 juzuk al-Quran itu dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan memegang mashaf di dadanya.

Di sebalik tragedi itu, tersingkap keindahan dan kemuliaan sebuah kematian yang sangat luar biasa.

Menurut pendakwah, Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman, kisah itu menjadi satu peringatan buat semua umat Islam bahawa manusia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan sebagaimana mereka meninggal dunia.

PU SALMAN
PU SALMAN

“Dalam Islam, kita akan dibangkitkan mengikut keadaan cara kita mati.

“Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis sahih riwayat Imam Muslim bahawa ‘Setiap hamba ALLAH itu akan dibangkitkan dari kuburnya sama seperti keadaan ketika ia meninggal’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di akaun TikTok miliknya pada Selasa.

Tambah PU Salman, jika seseorang meninggal dunia ketika sedang solat, maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan bersolat.

Artikel Berkaitan:

Jika mautnya dalam perjuangan, maka dia akan dibangkitkan juga dalam suasana sedang berjuang.

Begitu juga dengan Nurly Shahirah yang dilaporkan meninggal dalam keadaan memeluk al-Quran.

“Insya-ALLAH, dia akan dibangkitkan (pada hari akhirat kelak) dalam keadaan memeluk mashaf.

“Ini bukan benda yang tidak sengaja. Oleh sebab Nurly Shahirah seorang hafiz al-Quran, suka menulis al-Quran dengan tulisannya yang cantik, maka ALLAH berikan kelebihannya untuk dia meninggal dalam keadaan dia memeluk dan memegang al-Quran,” ujar beliau.

JIKA seseorang meninggal dunia ketika sedang solat, maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan bersolat. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
JIKA seseorang meninggal dunia ketika sedang solat, maka dia akan dibangkitkan dalam keadaan bersolat. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Bagi menyokong kenyataan itu, PU Salman turut merujuk kepada hadis sahih riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim mengenai seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang meninggal dunia dalam keadaan berihram ketika menunaikan ibadah haji.

“Baginda bersabda ‘Mandikan dia dengan air dan bidara, kafankan dia dengan dua helai kain, jangan diberi wangian dan jangan ditutup kepalanya. Sesungguhnya dia akan dibangkitkan sambil melantunkan talbiah’.

“Sebab apa? Sebab dia mati dalam keadaan berihram menunaikan ibadah haji kerana pada hari kiamat, dia akan dibangkitkan dalam keadaan sedang bertalbiah,” jelasnya.

Justeru, PU Salman menyeru umat Islam agar mengambil iktibar daripada kisah itu dan berusaha memperbaiki amalan serta kehidupan seharian supaya dipilih oleh ALLAH SWT untuk meninggal dalam keadaan husnul khatimah.

“Jadi, fikir-fikirkan bagaimana cara kita mati nanti. Ingatlah, ALLAH akan beri cara yang baik kalau kita sentiasa melakukan kebaikan,” pesan beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!