Penduduk kampung gotong-royong siapkan liang lahad pelajar UPSI terkorban

BESUT – Kariah Kampung Kerandang bergotong-royong menyiapkan liang lahad Fatin Nasrien Fadli, salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas persiaran di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli pada pagi Isnin.
Exco Pertanian Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, penduduk mengambil inisiatif bersegera menyiapkan keperluan bagi menyambut jenazah yang bakal tiba setelah urusan di Hospital Ipoh selesai.
"Terima kasih kariah Kampung Kerandang yang bergotong-royong menyiapkan liang lahad buat Allahyarhamah Fatin Nasrien," katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu turut memaklumkan, konvoi van jenazah dari Pertubuhan Amal Komuniti Besut dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain telah bertolak dari Jerteh menuju Hospital Ipoh jam 10 pagi untuk proses menuntut jenazah.
"Konvoi ini diiringi Polis Peronda dari IPD Besut. Terima kasih kepada semua yang membantu dan mempermudahkan urusan," ujar beliau.
Tambahnya, selain Fatin Nasrien, tiga pelajar UPSI dari DUN Jabi turut terkorban ialah Nur Ainul Qistina Mat Ali dari Kampung Anak Ikan, Nur Dalila Farhana Mohamad Isma (Kampung Bharu Tok Dor) dan Nurly Shahirah Azman (Kampung Gong Pasir).
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya melalui Pejabat ADUN Jabi telah menyediakan bantuan segera sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga bagi empat mangsa yang terkorban.
Kemalangan pada jam 1 pagi Isnin itu berlaku ketika bas dari Jerteh, Terengganu menghala ke kampus UPSI di Tanjung Malim melanggar belakang kereta Perodua Alza di depannya.
Untuk rekod, bas berkenaan membawa 44 individu dari Jerteh terdiri daripada 42 pelajar UPSI lingkungan usia antara 21 hingga 23 tahun, pemandu dan kelindan.
13 mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.
Sementara itu UPSI menerusi kenyataan memberitahu telah mengenal pasti 15 penuntut yang terkorban dalam nahas tersebut.
Menurut pengurusan universiti itu, mangsa terdiri daripada 11 pelajar perempuan dan empat lelaki daripada lapan fakulti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

