LKIM gilap tekong muda, pacu modenisasi perikanan negara

BACHOK – Golongan nelayan muda bakal menjadi tunjang utama dalam modenisasi industri perikanan laut dalam di negara ini apabila kerajaan mula merangka pelan melahirkan lebih ramai tekong tempatan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, langkah itu penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan membentuk ekosistem perikanan yang moden serta mampan.
“Sekarang ini kebanyakan tekong laut dalam kategori C dan C2 datang dari luar negara, termasuk Thailand. Kami mahu anak muda tempatan kendalikan operasi berskala besar dan moden.
“Kami dah kenal pasti kumpulan sasaran iaitu nelayan bawah umur 40 tahun untuk dilatih sebagai tekong profesional,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rahmah Mesra Madani dan merasmikan Stesen Minyak Kontena Mudah Alih di Pantai Baru, di sini pada Ahad.
LKIM turut menyampaikan zakat Agrobank kepada 100 nelayan asnaf berjumlah RM20,000 dan bantuan enjin bot bernilai RM250,000 kepada lima nelayan muda.
Menurut Faiz, usaha menggilap tekong muda itu sejajar dengan sasaran Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk meningkatkan sumbangan sektor akuakultur sebanyak 40 peratus menjelang 2040.
Beliau memberitahu, penggunaan teknologi dan peralatan canggih mampu menjadi daya penarik kepada penglibatan golongan muda, sekaligus mampu mentransformasikan industri akuakultur ke suatu tahap lebih tinggi.
“Anak-anak muda dekat dengan teknologi dan kemudahan canggih kecerdasan buatan, internet dan dron.
“Kita modenkan peralatan menangkap ikan, maka akan meningkatkan minat mereka terhadap industri perikanan,” katanya.
Beliau turut mendedahkan hanya 20 hingga 30 peratus daripada 112,000 nelayan berdaftar di seluruh negara terdiri daripada golongan muda, antara lain kerana kekangan pembekuan lesen bot dan persepsi kerjaya nelayan tidak menjamin masa depan.
“Jadi kami sedang bincang tambah kuota lesen dan memodenkan sektor ini sebagai kerjaya profesional,” katanya.
Sementara itu, nelayan muda, Suhai Mohd Noor, 29, dari Kampung Kuala Kemasin berkata, bantuan enjin bot yang diterimanya menjadi pemangkin untuk terus berdikari meneruskan punca pendapatan sebagai nelayan.
“Dulu saya ikut ayah, kumpul duit dan beli bot sendiri. Ramai nelayan muda sekarang masih kerja dengan orang kerana takut nak tanggung kos bot rosak atau tak sempat simpan modal.
“Tapi apabila dapat bantuan macam ni, kami jadi lebih yakin nak urus sendiri dan tak bergantung kepada tauke,” katanya.
Seorang lagi nelayan dari Pantai Baru, Mohd Azhar Mustapa, 37, berkata, enjin bot 150 kuasa kuda (hp) yang diterimanya dijangka meningkatkan hasil tangkapan harian.
“Dulu saya guna enjin 115hp, hasil sekitar 300 kilogram.
“Sekarang boleh cecah 700 kilogram sebab enjin lebih kuat dan boleh pergi lebih jauh,” katanya yang sudah 25 tahun menjadi nelayan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!