Nelayan terjun laut selepas bot terbakar dikhuatiri lemas

Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama dua rakan terbakar di perairan Tanjung Piandang. Foto Maritim Malaysia
Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki bersama dua rakan terbakar di perairan Tanjung Piandang. Foto Maritim Malaysia
A
A
A

IPOH - Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki bersama dua lagi rakan terbakar kira-kira 8.6 batu nautika timur dekat Tanjung Piandang, Kuala Kurau, pada Isnin.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, ketiga-tiga nelayan itu terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri dalam kejadian yang berlaku kira-kira 4 pagi tadi.

Beliau berkata, dua nelayan diselamatkan manakala seorang lagi yang juga pemilik bot berkenaan dikenali sebagai Cheah Chai Pun, 33, masih belum ditemukan.

"Kebakaran berpunca dari bahagian enjin bot. Api berjaya dipadamkan oleh anggota bomba sebaik bot ditunda ke jeti Tanjung Piandang," katanya dalam kenyataan malam Isnin.

Mohd Hairil berkata, pihaknya telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat dengan kerjasama pelbagai agensi serta komuniti maritim setempat yang turut digerakkan untuk membantu menyalurkan maklumat dan sokongan logistik di lapangan.

"Maritim Malaysia menyeru orang awam atau komuniti nelayan yang mempunyai sebarang maklumat atau petunjuk baharu untuk tampil membantu pasukan penyelamat dengan menyalurkan maklumat di talian 011-3525 9919 atau Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-727 9919," katanya.

Beliau berkata, misi pencarian mangsa akan disambung esok pagi, memandangkan cuaca yang semakin gelap. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!