LKIM bangunkan aplikasi digital bantu nelayan akses subsidi minyak
Sekali gus bakal menggantikan sistem peranti PDA lama

BACHOK – Kerajaan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedang membangunkan aplikasi khas telefon bimbit bagi membantu nelayan mengakses subsidi minyak.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, program digitalisasi itu sekali gus bakal menggantikan sistem peranti Pembantu Digital Peribadi (PDA) sedia ada yang dianggap lapuk.
Menurut beliau, aplikasi berkenaan akan membolehkan nelayan menyemak kelayakan dan baki kuota subsidi terus melalui telefon pintar, tanpa perlu bergantung kepada alat fizikal PDA yang digunakan di stesen pengisian bahan api sebelum ini.
“Kami akui peralatan PDA sekarang sudah lama dan banyak gangguan teknikal. Atas saranan kerajaan yang menekankan pendigitalan urus tadbir, LKIM melantik kontraktor bagi membangunkan aplikasi ini.
“Dalam masa terdekat, mungkin hujung tahun ini, kami akan laksanakan kaedah baharu tersebut agar proses salur subsidi lebih cekap dan telus,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Rahmah Mesra Madani dan Perasmian Stesen Minyak Kontena Mudah Alih (PCS) Pantai Baru di sini pada Ahad.
Turut hadir, Pengurus Perhubungan Kerajaan dan Korporat Petron, Saadon Sharif.
Menurut Muhammad Faiz, aplikasi yang sedang dibangunkan itu dijangka memberi manfaat kepada hampir 40,000 nelayan seluruh negara, termasuk lebih 328 nelayan di Bachok yang kini layak menerima subsidi minyak bersasar melalui PCS.

“Melalui sistem digital ini, kami boleh pastikan hanya nelayan berdaftar dan layak sahaja boleh akses subsidi.
“Langkah ini juga mengelakkan salah guna dan membolehkan audit serta pemantauan dilakukan terus,” katanya.
Beliau menambah, jumlah subsidi yang diterima akan bergantung kepada kapasiti bot dan peralatan setiap nelayan, justeru sistem baharu ini akan memudahkan mereka mengetahui had kelayakan masing-masing dengan lebih jelas.
Dalam pada itu, pembukaan PCS di Pantai Baru yang dirasmikan Muhammad Faiz adalah inisiatif jangka panjang LKIM bagi memudahkan akses nelayan terhadap bahan api bersubsidi, terutama yang tinggal jauh dari stesen minyak sedia ada.
Katanya, 155 nelayan setempat mendapat faedah secara langsung daripada kemudahan baharu ini.
“Sebelum ini, mereka terpaksa bergerak jauh untuk isi minyak dan menambah kos operasi.
“Kini dengan adanya PCS, masa dan jarak dapat dijimatkan manakala nelayan boleh terus fokus kepada tangkapan,” katanya.
Setakat ini, terdapat tujuh PCS di seluruh negara termasuk satu di Kelantan dan dirancang untuk diperluas kemudahan itu ke negeri lain seperti Perlis, Terengganu dan Sabah dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

