Kerajaan lulus RM300 juta perkasa sektor perikanan

KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan dua skim baharu bernilai RM300 juta bagi memperkasa sektor perikanan negara melalui pendekatan lebih lestari dan moden demi kesejahteraan komuniti nelayan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kelulusan tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13), yang antara lain merangkumi Skim Pembiayaan Pemacu Perikanan Tangkapan serta Skim Geran Padanan bagi menggantikan pukat tunda dan bot sedia ada.
“Langkah ini penting ke arah amalan perikanan yang lebih lestari dan moden, sekali gus menjamin keterjaminan makanan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pembangunan dan Pemerkasaan Nelayan (JPT-PPN) yang pertama bagi tahun 2025, susulan sesi libat urus bersama komuniti nelayan Zon Pantai Barat pada Mac lalu.
Zahid berkata, peruntukan RM300 juta itu turut melibatkan pendekatan padanan geran serta pembiayaan bersasar untuk meningkatkan pendapatan nelayan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.
Selain itu, kerajaan akan melaksanakan Projek Transformasi Ekonomi Nelayan Melalui Akuakultur (TEMAN-AKUA) yang akan memanfaatkan 1,100 nelayan B40 tidak berlesen di Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis dengan nilai peruntukan awal sebanyak RM5 juta.
“Program ini dijangka mampu menjana pulangan sehingga RM50 juta setahun dan meningkatkan pendapatan isi rumah sehingga RM10,000 sebulan,” ujarnya.
Turut diumumkan ialah penubuhan sebuah institusi memperkasakan nelayan di Lumut bagi menyediakan latihan kemahiran, keusahawanan serta bantuan geran sehingga RM200,000 untuk membina keupayaan tempatan dalam sektor perikanan.
Pada masa yang sama, beliau berkata, pelaksanaan subsidi diesel bersasar melalui Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS 2.0) akan diperkukuh susulan kejayaan Ops TIRIS yang berjaya menyelamatkan lebih RM400 juta ketirisan.
Menurutnya lagi, kerajaan telah mengenal pasti 37 isu utama hasil sesi libat urus sebelum ini dan sebanyak 46 peratus daripadanya telah diselesaikan, manakala selebihnya sedang dilaksanakan secara berperingkat.
“Kepada semua komuniti nelayan di seluruh negara, yakinlah bahawa kita tidak akan berkompromi dengan ketirisan.
“Kita akan terus menumpukan dasar bersasar, memperkasa anda sebagai pemain penting dalam ekosistem makanan negara, dan membawa industri ini melangkah ke depan dengan lebih berani dan berdaya tahan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!