Annuar berharap Parlimen dibubar bentuk kerajaan 'pintu depan'

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa pada sidang media sempena hari pertamanya memulakan tugas di Menara Seri Wilayah hari ini. -Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa pada sidang media sempena hari pertamanya memulakan tugas di Menara Seri Wilayah hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Dua hari selepas dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sekali lagi mengharapkan agar Dewan Rakyat dibubar bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, serangan bertali arus daripada Pakatan Harapan (PH) yang menuduh kerajaan hari ini ditubuhkan melalui 'pintu belakang' perlu dihentikan dan menyifatkan PRU15 sebagai jalan terbaik mewujudkan kerajaan ‘pintu depan’.

“Setelah kerosakan yang ditinggalkan PH diuruskan dan wabak Covid-19 reda, kita harap pintu depan segera dibuka dengan Parlimen dibubarkan, seperti mana dari awal yang dimahukan Muafakat Nasional.

“Kita serah kepada rakyat, sejauh mana rakyat mahu 'geng' bersama DAP ini,” katanya dalam Twitternya hari ini.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, masalah utama dihadapi PH kini ialah mereka didakwa berada dalam sindrom penafian dan menyalahkan pihak lain secara kekal.

“Mereka yang berebut jawatan, mereka yang letak jawatan, mereka yang terjun tingkap dan semacam wirid kerajaan hari ini kerajaan pintu belakang.

"Mereka tidak pernah sedar kesilapan mereka,” katanya.

Di PUTRAJAYA, Annuar menjelaskan ciapan tersebut merupakan respons kepada segelintir pihak yang mahu Parlimen dibubarkan sebelum Perikatan Nasional memerintah dan ingin mengemukakan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Itu adalah respons saya kepada orang yang sekarang ini baru nak cakap soal bubar parlimen, buat undi tidak percaya dalam Parlimen.

“Kita kena utamakan rakyat, jadi kita kena berikan peluang kepada Perdana Menteri dan Kabinet untuk melaksanakan tanggungjawab, kita takkan lari mana-mana, kita akan kembali kepada rakyat juga,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

'Langkah Sheraton' yang bermula pada 23 Februari lalu menyaksikan tumbangnya kerajaan PH apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang pernah menjadi komponen PH, bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN), Pas dan beberapa bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Gabungan itu juga disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi membentuk kerajaan baharu.

BN dan Pas pada mulanya menyokong Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, namun menarik balik sokongan kerana tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Perdana Menteri ketujuh itu.

BN dan Pas kemudian meminta agar pilihan raya mengejut diadakan bagi memilih kerajaan, namun kemudian menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu dan mengumumkan Kabinetnya dua hari lepas.