Pembantu rumah curi telefon bimbit, iPad milik majikan diberkas

AMPANG - Seorang pembantu rumah warga Indonesia diberkas kerana disyaki mencuri telefon bimbit dan mencuri iPad di sebuah rumah di Taman Cempaka, di sini, pada 28 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seorang wanita berusia 36 tahun menyedari pembantu rumahnya telah tiada di kediaman itu pada jam 7 pagi.
"Mangsa telah membuat pemeriksaan dan mendapati sebuah telefon bimbit jenis Oppo A9 dan sebuah iPad jenama Apple telah hilang disyaki dicuri oleh pembantu rumah tersebut.
"Tujuan pengadu membuat laporan untuk urusan pembatalan pasport, permit dan tindakan pihak polis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Azam berkata, pihaknya berjaya memberkas wanita warga asing berusia 33 tahun itu di tepi jalan Pandan Ilmu, Pandan Indah, di sini, pada jam 5.40 petang, Selasa.
"Kita telah merampas pasport milik suspek serta iPad dan telefon bimbit berkenaan," katanya.
Menurutnya, motif kejadian adalah suspek mencuri barang milik majikan kemudian melarikan diri serta enggan bekerja.
"Pemeriksaan ujian saringan air kencing ke atas suspek mendapati negatif dadah.
"Wanita itu telah direman tiga hari bermula Rabu hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
