X

Kindly register in order to view this article
!

Rosmah minta bekas KSU KPM percepat tandatangani kontrak projek solar: Saksi

Rosmah - Foto fail Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Seri Alias Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa Datin Seri Rosmah Mansor ada memintanya untuk mempercepat proses menandatangani kontrak projek solar hibrid di Sarawak.

Alias, 62, berkata, isteri bekas perdana menteri itu juga ada bertanya kepada beliau bilakah kontrak tersebut boleh ditandatangani kerana sekiranya kontrak tidak ditandatangani, bayaran 'progress' tidak dapat dibuat.

"Saya beritahu beliau Syarikat Jepak (Jepak Holdings Sdn Bhd) tidak dapat menyiapkan draf dokumen kontrak untuk diteliti oleh KPM," katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Saksi itu memberi keterangan pada hari ke-13 perbicaraan kes Rosmah, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin

Suapan itu didakwa diterima menerusi bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada KPM.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Berlaku pengeluaran tunai walau tandatangan cek tidak sama: Saksi

Najib arah projek penjana diesel diganti dengan solar hibrid tanpa ujian rintis

Kes rasuah Rosmah: Saksi dakwa masukkan duit dalam beg sandang

Membacakan penyataan saksinya, Alias yang memegang jawatan tersebut dari 5 September 2016 sehingga bersara pada 22 Mei 2018 berkata, Rosmah juga ada bertanyakan kepada beliau perkembangan bayaran pendahuluan kepada Jepak Holdings dan bila pembayaran tersebut boleh dibuat kerana syarikat tidak dapat bergerak tanpa bayaran itu.

"Saya beritahu beliau bahawa terdapat isu berkenaan insurans yang digunakan oleh syarikat tidak diluluskan oleh Kementerian Kewangan dan tanpa kelulusan Kementerian Kewangan untuk insurans ini, pembayaran tidak boleh dibuat dan sekiranya dibuat juga ia adalah perlanggaran kepada proses perolehan kerajaan," kata saksi ke-12 pihak pendakwaan itu.

Alias berkata, Rosmah bertanyakan mengenai perkembangan projek tersebut kepadanya selepas mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Permata Malaysia, yang beliau tidak mengingati tarikh sebenar mesyuarat itu, namun menyatakan ia berlangsung ketika isu pembayaran pendahuluan timbul serta sebelum tarikh kontrak rasmi projek tersebut ditandatangani.

Menurut saksi itu, beliau mengambil serius pertanyaan Rosmah kerana ia datang daripada isteri Perdana Menteri dan telah mengarahkan pegawai-pegawainya supaya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah Jepak Holdings berkaitan isu bayaran pendahuluan, bayaran kemajuan dan penyediaan dokumen kontrak.

“Seingat saya, kontrak untuk projek ini telah ditandatangani pada 20 Jun 2017 dan ketika itu saya telah menandatangani dokumen kontrak tersebut bersama dengan pihak Jepak iaitu Saidi Abang Samsudin yang merupakan pengarah syarikat tersebut,” katanya.

Sementara itu, suasana menjadi sedikit tegang ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Rosmah, apabila Alias tidak bersetuju dengan cadangan peguam tersebut bahawa tindakannya mengeluarkan Surat Setuju Terima (SST) kepada Jepak Holdings berhubung pemberian projek solar itu ‘mengingkari’ surat daripada Kementerian Kewangan yang tidak meluluskan permohonan tambahan dikemukakan oleh KPM.

Akberdin: Awak nak tegakkan benang yang basah. Ada atau tidak MOF (Kementerian Kewangan) luluskan permohonan peruntukan tambahan?

Alias: Tidak.

Akberdin: Kalau MOF tidak luluskan permohonan peruntukan tambahan jadi tindakan kamu keluarkan SST satu perbuatan yang mengingkari jawapan MOF sebab MOF tidak luluskan (peruntukan tambahan).

Alias: Tidak betul sebab bukan saya yang keluarkan SST sebab tidak ada tandatangan saya atas SST.

Akberdin: Awak berbohong kepada mahkamah. Awak nak beritahu awak sebagai pegawai pengawal awak tidak dimaklumkan atau tidak tahu bila SST dikeluarkan (kepada Jepak Holdings).

Alias: Setuju, saya tidak tahu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus