Berlaku pengeluaran tunai walau tandatangan cek tidak sama: Saksi

Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak. - Foto Bernama
Rosmah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi prosiding perbicaraan kes rasuah yang dihadapinya berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penolong Pengurus Maybank Jalan Medan Tuanku, Low Ai Lin, 52, mengesahkan berlaku dua kali pengeluaran tunai daripada akaun Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin pada 20 Disember 2016 dan 7 September 2017 menerusi cek walaupun tandatangan pemilik akaun tidak sama.

Saksi ke-11 pendakwaan kes projek solar hibrid untuk sekolah melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguambela, Azrul Zulkifli Stork.

Ai Lin mengesahkan pada 1 Disember hingga 30 Disember 2016 terdapat baki RM626,952.81 dalam akaun tersebut.

"Pada 20 Disember 2016, pemilik akaun iaitu Saidi masukkan deposit berjumlah RM6 juta dan pada hari sama mengeluarkan RM5 juta menerusi cek dan terdapat pernyataan bertulis cash withdrawal (pengeluaran tunai).

"Pada tarikh 7 September 2017 pula berlaku pengeluaran RM1.5 juta daripada akaun itu juga melalui cek bertulis 'cash withdrawal'," katanya kepada mahkamah.

Azrul juga bertanya kepada Ai Lin sama ada dua cek pengeluaran mempunyai tandatangan berbeza daripada tandatangan yang digunakan Saidi ketika membuka akaun.

Ai Lin berkata, tandatangan itu ada sedikit perbezaan dan beliau setuju bahawa mengikut prosedur, kebiasaannya Maybank tidak akan meluluskan transaksi tanpa tandatangan yang sepadan.

Ai Lin juga memberitahu mahkamah bahawa tandatangan untuk pembukaan akaun Saidi adalah pada 2009 manakala tandatangan pada cek adalah pada 2016 dan 2017.

Artikel Berkaitan:

Dalam pemeriksaan semula juga mahkamah mendapati jarak masa pengeluaran wang tunai menggunakan cek melalui akaun itu agak lama yang mengambil masa hampir setahun.

Dalam pada itu, saksi pendakwaan ke-10, Kamarudin Abdullah memaklumkan bahawa surat bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang dihantar kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai 2017 ditulis sendiri oleh Ahli Parlimen Padang Terap itu dan tidak melalui bahagiannya di Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam pemeriksaan balas oleh peguam bela, Azrul Zulkifli Stork, bekas Pegawai Kanan di KPM itu berkata, melalui surat Mahdzir yang dihantar kepada Najib, Mahdzir mengajukan memohon kelulusan Najib yang juga Menteri Kewangan ketika itu untuk mengecualikan dokumen tertentu supaya Kementerian Pendidikan boleh membayar tuntutan interim kepada syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd untuk kerja genset diesel yang dilaksanakan syarikat itu sejak Januari 2017.

Semasa sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwaraya, Poh Yih Tinn, Kamarudin menjelaskan, Mahdzir tidak pernah memanggilnya untuk berbincang tentang surat tersebut atau cuba mendapatkan maklumat yang berkaitan.

Sebaliknya kata Kamarudin, dia menerima hanya satu salinan surat berkenaan.

Ditanya bagaimana Mahdzir mendapat maklumat yang diperlukan, Kamarudin menjawab: "Saya tidak berapa pasti berkemungkinan melalui pegawai khas."

Sebelum itu, Kamarudin berkata, Mahdzir juga mengarahkannya untuk memadamkan satu klausa dalam surat penganugerahan kepada syarikat Jepak Holdings.

Klausa itu, kata saksi terbabit, membolehkan kerajaan menamatkan kerja-kerja projek tersebut dan membuat potongan daripada sebarang tugasan yang tidak disiapkan.

Perbicaraan yang masuk hari ke-12 hari ini di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan disambung esok.

Rosmah menghadapi tiga pertuduhan berkaitan dakwaan penyelewengan dana bagi pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak bagi Kementerian Pendidikan.

Projek bernilai RM1.25 bilion itu diberikan kepada Jepak Holdings Sdn Bhd secara rundingan terus.