Kes rasuah Rosmah: Saksi dakwa masukkan duit dalam beg sandang

Rosmah tiba di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Rosmah tiba di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi dalam perbicaraan kes rasuah terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa dia diarahkan oleh Pengarah Urusan Jepak Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin untuk memasukkan wang tunai ke dalam dua beg galas.

Shamsul Rizal Sharbini yang merupakan pemandu Saidi bagaimanapun memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui jumlah wang tersebut namun ia secara keseluruhannya didominasi wang kertas RM100.

Saksi keempat itu juga memaklumkan mahkamah, Saidi meminta dia ke Maybank Cawangan Medan Tuanku sebanyak dua kali dan memberitahu majikannya itu ada membeli dua beg luggage hitam dan mengarahkan saksi tersebut membeli dua beg galas berwarna hitam dan oren.

Dia turut memberi keterangan, bahawa majikannya itu ada memberitahunya bahawa syarikat beliau (Saidi) berjaya mendapatkan satu projek solar dan pembekalan diesel kepada sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak.

Menurut saksi itu, berdasarkan perbualan Saidi dan rakan kerjanya yang dikenali sebagai Rayyan, projek itu bernilai 1.25 bilion ringgit.

Shamsul Rizal juga memaklumkan, Saidi memperoleh kontrak itu atas bantuan Rayyan dengan melobi projek tersebut daripada Kementerian Pendidikan.

Menurut saksi berkenaan, setelah mendapatkan projek itu, Jepak Holdings Sdn Bhd menubuhkan satu lagi syarikat yang dinamakan 'Smoothplus' untuk menguruskan projek solar tersebut.

Selain itu, Shamsul Rizal memaklumkan, dia diarah menghantar Saidi ke kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta yang turut dihadiri pembantu Datuk Seri Najib, dan Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor.

Artikel Berkaitan:

Saksi tersebut memberi keterangan sedemikian ketika sesi pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah.

Semalam, saksi pendakwaan ketiga, Ketua Juruwang Maybank Cawangan Medan Tuanku, Azimah Aziz mengesahkan pihak bank ada mengeluarkan dua cek kepada Saidi bernilai RM5 juta dan RM1.5 juta.

Sebelum itu, perbicaraan tersebut agak tegang seketika, apabila kedua-dua pihak bertikam lidah berhubung soalan yang didakwa mengelirukan mengenai warna beg sandang yang dikatakan saksi.

Dalam prosiding hari ini di Hakim, Mohamed Zaini Mazlan, situasi tegang itu tercetus apabila pihak pendakwaan dan pembelaan bertikam lidah berhubung soalan yang didakwa mengelirukan, berkaitan warna beg sandang sama ada oren atau hitam.

Peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah membantah kenyataan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam yang menyatakan bahawa soalan pasukan pembelaan kepada saksi pendakwaan iaitu Shamsul Rizal Sharbini adalah soalan yang mengelirukan.

Kenyataan itu dinyatakan pihak pendakwaan, selepas Akberdin menyoal saksi berhubung warna yang tepat bagi dua buah beg dikatakan oleh saksi tersebut sama ada hitam atau oren.

Shamsul Rizal memberi keterangan, bahawa dia meletakkan dua beg sandang hitam di atas sofa hijau di sebuah rumah di Jalan Langgak Duta.

Akberdin menyoal saksi berkenaan berikutan berlaku percanggahan kerana dalam pernyataan saksi, menggunakan perkataan oren bukan hitam bagi kedua-dua beg itu.

Shamsul Rizal kemudian memberitahu mahkamah, bahawa beg itu kebanyakannya berwarna hitam hanya sedikit terdapat warna oren.

Mohamad Mustaffa kemudian bangun dan berkata, bahawa saksi sudah menyebut hitam dan soalan pembelaan itu adalah soalan yang mengelirukan.

Jagjit pula menegaskan bahawa soalan Akberdin itu tidak mengelirukan.

Selepas keadaan kembali tenang, Akberdin meneruskan pemeriksaan balas terhadap Shamsul Rizal yang pernah menjadi pemandu peribadi kepada Pengarah Urusan Jepak Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Ini termasuk soalan, jika Shamsul Rizal mempunyai sebarang perjanjian pekerjaan untuk ditunjukkan kepada mahkamah, atau apa-apa bukti bagi menunjukkan Saidi telah menyumbang caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso).

Akberdin: Soalan saya yang berikut. Kamu beri penjelasan panjang lebar berkenaan tempat kamu kerja jadi ada apa-apa bukti untuk kamu tunjuk yang kamu ini pemandu Encik Saidi? Ada perjanjian pekerjaan?

Shamsul: Tidak ada, sekarang tak ada.

Akberdin: Dan kamu juga tak tunjuk apa-apa bukti Saidi ada bayar KWSP, Socso bagi kamu?

Shamsul: Tak ada.

Sebelum itu, Shamsul Rizal memberitahu mahkamah, bahawa majikannya, Saidi bergiat aktif sebagai ahli politik dan merupakan Timbalan Ketua Bahagian Jepak untuk parti Pesaka Bumiputera Bersatu yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) ketika itu.

Terdahulu, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal bagi projek membekalkan tenaga solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Isteri kepada Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa melakukan kesalahan di tiga tempat iaitu Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, di kediamannya di Jalan Langgak Duta, dan Seri Perdana Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan bersambung petang ini.