Pulau Pinang beri bonus raya setengah bulan gaji, minimum RM1,000

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang bersetuju meluluskan pemberian bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada anggota perkhidmatan awam negeri sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pembayaran itu akan dibuat mulai 19 Mac ini sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjayakan aspirasi negeri.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri turut bersetuju menyalurkan BKK sebanyak RM300 kepada penyelia, guru serta kakitangan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sekolah rendah agama rakyat (SRAR), sekolah menengah agama rakyat (SMAR), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) dan sekolah persendirian Cina di negeri ini.

“Pemberian ini juga akan dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan serta Badan Berkanun Negeri, tertakluk kepada kemampuan kewangan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, pelaksanaan bantuan khas ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM7.81 juta dan akan memberi manfaat kepada 7,066 penerima di seluruh negeri.

Tambahnya, inisiatif itu sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030, iaitu ke arah sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!