Dana untuk Aisyah sudah cukup

A
A
A
A
A

JELI - “Dana Aisyah dah cukup, alhamdulillah, terima kasih rakyat Malaysia dan semua pihak yang membantu kami,” kata Che Rosniarma Mohamad Nor.

Che Rosniarma, 32, merupakan ibu kepada bayi menghidap masalah usus pendek atau Short Bowel Syndrom (SBS), Nur Aisyah Aleesa Mohd Azreen, setahun 10 bulan.

Menurutnya, dana sebanyak RM20,000 itu membolehkan Aisyah menjalani rawatan pemakanan parenteral atau Total Parenteral Nutrition (TPN) di rumah.

“Sebelum ini kami terpaksa berulang alik dari Ayer Lanas ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu untuk membolehkan Aisyah jalani TPN di sana.

“Usus Aisyah bermasalah sejak lahir dan sejak dari itu dia tinggal di hospital sehingga umurnya setahun dua bulan. Saya minta untuk pulang dan akan ke hospital jika Aisyah memerlukan TPN,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Che Rosniarma berkata, dengan dana berkenaan, dia dan suami, Mohd Azreen Ibrahim, 27, dapat menyediakan kelengkapan diperlukan Aisyah, sekali gus membolehkan rawatan dijalankan di rumah.

“Terima kasih kepada Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (Kelss) Kelantan yang melancarkan tabung khas untuk Aisyah dan bertungkus lumus membantu mendapatkan dana diperlukan,” katanya.

Artikel Berkaitan: