Malaysia sekat perjalanan ke Itali, Iran dan Republik Korea

Dr Adham melihat senarai nama individu yang dibenarkan pulang setelah dikuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Wuhan,China pada 26 Februari lalu.
Dr Adham melihat senarai nama individu yang dibenarkan pulang setelah dikuarantin selama 14 hari selepas pulang dari Wuhan,China pada 26 Februari lalu.
A
A
A

NILAI - Kerajaan hari ini memutuskan menyekat perjalanan sepenuhnya ke atas semua rakyat Itali, Iran dan Republik Korea serta warganegara asing lain dari negara-negara tersebut daripada memasuki Malaysia berkuat kuasa 13 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, mereka juga tidak dibenarkan transit di mana-mana pintu masuk Malaysia.

Katanya, sekatan perjalanan ke atas tiga wilayah di China iaitu Hubei, Zhejiang dan Jiangsu serta Hokaido Jepun masih lagi berkuat kuasa seperti yang diputuskan sebelum ini.

"Rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari Itali, Iran dan Republik Korea akan dikenakan 'Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988' selama 14 hari.

"Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Itali, Iran dan Republik Korea sekiranya perjalanan berkenaan tidak mendesak atas faktor risiko mendapat jangkitan semasa berada di negara terbabit," katanya semasa mengadakan lawatan ke Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (Akept), Pusat Kuarantin individu yang dibawa pulang dari Wuhan, China dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Nor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Mohtar Mohd Abd Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pengurusan Pasca Bencana), Mohamed Zahari Razali.

Dalam pada itu Dr Adham memberitahu, sumbangan bantuan sebanyak RM100 sehari akan diberikan kepada individu yang terkesan dengan penularan koronavirus (Covid-19) terutama mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang tempoh 14 hari proses pengawasan di rumah.

Katanya, sumbangan tersebut diberikan melalui kutipan tabung Covid-19 yang diuruskan oleh pihak Nadma.

Artikel Berkaitan:

"Pihak swasta, badan sukarela serta orang awam digalakkan untuk memberi sumbangan kepada tabung itu untuk kebajikan rakyat yang terkesan dengan penularan Covid-19.

"Tabung itu bertujuan memberi bantuan wang ihsan kepada mereka dalam tempoh menjalani Home Surveillance (HS) selama 14 hari atau menjalani rawatan di hospital ekoran positif Covid-19 yang didaftarkan oleh KKM," katanya.