MRL hulur bantuan kewangan kepada waris 15 pelajar UPSI

BESUT - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menyalurkan bantuan wang tunai berjumlah RM2,000 kepada setiap waris 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, Perak, Isnin lalu.
Sumbangan itu disampaikan Ahli Lembaga Pengarah MRL, Yahaya Abdullah bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Darwis Abdul Razak serta warga kerja syarikat ketika menziarahi keluarga mangsa di daerah ini pada Jumaat.
MRL dalam kenyataan pada Jumaat berkata, bantuan itu diharap dapat meringankan beban keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam kemalangan ngeri itu.

"Pihak MRL merakam takziah kepada semua waris yang terkesan serta mendoakan agar mereka terus diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini
"MRL sebagai pemilik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan terus menyantuni golongan kurang berkemampuan dan keluarga ditimpa musibah khususnya di kawasan berhampiran jajaran ECRL," kata kenyataan tersebut.
Isnin lalu, media melaporkan seramai 42 pelajar UPSI dalam perjalanan pulang ke kampus di Tanjung Malim dari Jertih sebelum bas dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan Perodua Alza.
Tragedi menyayat hati itu telah meragut 15 nyawa, menjadikannya antara insiden kemalangan jalan raya paling buruk membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).
Untuk rekod, jajaran ECRL di Terengganu melibatkan pembinaan enam stesen termasuk Stesen Jerteh di Kampung Alur Keladi yang dijangka membawa manfaat besar kepada penduduk di daerah ini.
Setakat Mei 2025, kemajuan pembinaannya direkodkan pada tahap 91.26 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
