'Faham, saya mohon bicara' - Pemandu bas nahas pelajar UPSI

Seorang pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gerik pada Jumaat atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar UPS) dalam kemalangan, Isnin lalu.
Seorang pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gerik pada Jumaat atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar UPS) dalam kemalangan, Isnin lalu.
A
A
A

GERIK - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Gerik pada Jumaat atas 15 pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan, Isnin lalu.

Tertuduh, Mohd Amirul Fadhil Zulkifli, 39, beralamat dari Pengkalan Nyireh, Terengganu membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Muhammad Firdaus Nor Azlan.

"Saya faham. Saya mohon bicara," kata Mohd Amirul Fadhil sebaik semua pertuduhan selesai dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu bas jenis Hino didakwa telah memandu secara berbahaya kepada orang awam hingga menyebabkan kematian kepada Fakhrul Arif Rosdi, 20.

Bapa tiga anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli jam 1.15 pagi pada 9 Jun 2025.

Bagi pertuduhan kedua sehingga 15, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama menyebabkan kematian kepada Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, 21; Nik Amni Nadiah Nik Nor Zabir, 21; Nurul Fatihah Abu Setaman, 22; Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21; Sufea Adela Maslihaizan, 21; Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21; Nur Dalila Farhana Mohamad Isma, 21; Nurly Sahirah Azman, 23; Fatin Nasrien Fadli, 22; Muhammad Mustaqim Rosde, 21; Anis Soffiyya Md Zaidi, 20; Nor Ayuni Maslan, 21; Muhammad Adib Hazim Halim, 21; dan Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, pada tarikh, masa dan tempat sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding yang berlangsung selama 45 minit itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di bawah Seskyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987

kerana memandu dengan cara berbahaya kepada orang awam pada tarikh, masa dan tempat sama.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Perak, Muhammad Zaki Abdul Kudus bersama dua Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan NM Moganaraj Mithra.

Terdahulu, Nasrul Hadi menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan semua kelas lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes di mahkamah selesai selain melapor diri di balai polis setiap bulan.

Beliau juga mencadangkan agar tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada pihak mahkamah juga tidak mengganggu mangsa dan saksi serta tidak membuat sebarang kenyataan atau komen berhubung kejadian itu sehingga kes selesai.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon agar jaminan dikurangkan atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai pemandu bas iaitu antara RM1,500 hingga RM1,800 sebulan selain mempunyai tanggungan.

"Saya rayu kurangkan jaminan. Syarat lain saya tiada masalah," katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM19,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri ke balai polis pada minggu pertama setiap bulan.

Majistret Muhammad Firdaus turut memerintahkan tertuduh tidak mengganggu mana-mana mangsa dan saksi serta semua kelas lesen memandu digantung bermula hari ini sehingga mahkamah membuat keputusan terhadap pertuduhan dibuat.

Sebutan semula kes dan lantikan peguam ditetapkan pada 14 Julai depan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas membawa 42 penumpang kesemuanya pelajar UPSI dalam perjalanan dari Terengganu ke kampus di Tanjung Malim melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.

Kejadian mengakibatkan 13 mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi meninggal dunia di hospital. Nahas turut mengakibatkan 27 pelajar yang lain cedera.

Turut cedera ialah pemandu bas dan kelindannya yang berusia 54 tahun serta empat sekeluarga yang menaiki MPV terbabit.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!