Nahas pelajar UPSI: Pemandu bas didakwa esok - Polis

IPOH – Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam nahas maut membabitkan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Isnin lalu akan didakwa esok.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lelaki tempatan berusia 39 tahun itu akan dituduh di Mahkamah Majistret Gerik.
“Suspek akan dihadapkan ke mahkamah esok selepas solat Jumaat,” katanya ringkas ketika dihubungi pemberita pada Khamis.
Difahamkan suspek akan didakwa di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan pemandu bas yang terlibat dalam nahas yang meragut nyawa 15 penuntut UPSI telah ditahan polis.
Lelaki itu ditahan sekitar jam 5.45 petang selepas dibenarkan keluar dari hospital.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!