Wanita meninggal dunia dalam kereta akibat radang paru-paru

GEORGE TOWN – Punca kematian seorang wanita yang ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta di parkir sebuah stesen minyak di Paya Terubong, Ayer Itam di sini disahkan akibat radang paru-paru (pneumonia).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang mendapati mangsa meninggal dunia akibat penyakit tersebut.
Menurutnya, pihak polis menerima maklumat awam berhubung kejadian itu kira-kira jam 7.55 malam Ahad.
“Saksi orang awam telah menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta kira-kira jam 4 petang hari sama dan kenderaan tersebut berkunci dari dalam.
“Pintu kereta berjaya dibuka dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, mangsa merupakan wanita warga tempatan berusia 37 tahun, berasal dari Paya Terubong, Ayer Itam.
"Hasil siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kes tersebut.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan mati mengejut telah dibuka bagi siasatan lanjut,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang wanita ditemui meninggal dunia di tempat pemandu dalam kereta jenis Perodua Myvi yang dipenuhi pelbagai barangan dan berkunci.
Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem MERS 999 pada jam 7.48 malam untuk membuka pintu kereta berkenaan.
Katanya, pasukan operasi menggunakan peralatan khas sebelum mendapati seorang wanita tidak sedarkan diri di dalam kenderaan.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan yang turut hadir di lokasi kejadian.
Ringkasan AI
- Wanita ditemui tidak sedar dalam kereta di Paya Terubong meninggal akibat radang paru-paru
- Penemuan mayat wanita disahkan setelah bedah siasat oleh Jabatan Forensik Perubatan Hospital Pulau Pinang
- Polis menerima maklumat tentang kejadian pada jam 7.55 malam Ahad
- Mangsa berusia 37 tahun, warga tempatan dari Paya Terubong
- Tiada unsur jenayah, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

