Tangguh dulu peluasan skop SST - Bersatu

SHAH ALAM- Kerajaan disaran untuk menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan semakan dan perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sehingga satu kajian menyeluruh dibuat.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, perkara itu penting bagi melihat impaknya kepada kos sara hidup, penguncupan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), tekanan kenaikan aset hartanah dan kegagalan projek pembinaan serta semua yang berkaitan.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi negara yang tidak stabil susulan kenaikan tarif dan unjuran pertumbuhan negara yang semakin kecil, pengenalan pelarasan semula bermaksud cukai tambahan yang perlu ditanggung rakyat.
“Penggunaan apa-apa perkataan lain hanyalah retorik semata-mata untuk mengalih perhatian atau mencetuskan kekeliruan. Ia adalah taktik klasik yang sudah sering diguna pakai.
“Antara sektor yang akan terkesan ialah pembinaan dan perkhidmatan. Bagi sektor pembinaan, cukai baharu ini akan memberi tekanan tinggi kepada aliran tunai kerana pembayaran cukai adalah berdasarkan sijil tahap pembinaan (certified completion stage) dan bukannya berdasarkan bayaran diterima.
“Memang betul simen dikecualikan tetapi pembinaan zaman sekarang tidak berdasarkan simen dan mortar sahaja. Komponen mekanikal, elektrikal, bahan kaca, besi dan servis tidak dikecualikan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan bahawa beberapa barangan pilihan tertentu akan dikenakan cukai jualan berkuat kuasa 1 Julai depan.
Ia susulan pelaksanaan semakan dan peluasan skop SST yang diumumkan dalam Belanjawan 2025, bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Mohamed Farid yang juga Ketua Biro Ekonomi Bersatu berkata, cukai tambahan itu akan membebankan kerana dikuatkuasakan tanpa pengecualian bermula bulan depan.
Jelasnya, bagi sektor perkhidmatan pula, pengenalan cukai kepada sewa dan pajakan adalah satu bentuk cukai tersembunyi kerana walaupun sewa rumah dikecualikan tetapi sewa premis perniagaan tetap dikenakan.
“Pajakan pula termasuklah semua aktiviti perniagaan seperti sewaan mesin dan kenderaan, sewaan pakaian, dewan, penyampaian servis kewangan seperti pajak gadai dan segala bentuk perkhidmatan lain.
“Nilai ambang pada tahap RM500,000 adalah terlalu kecil. Realiti sebenarnya, cukai ini bukan bersasar tetapi menyeluruh malah akan lebih membebankan kumpulan yang paling kurang kemampuan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

