Tangguh peluasan SST terhadap sektor pembinaan - PKMM

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, pihaknya amat berharap kerajaan meneliti secara lebih mendalam kesan daripada peluasan cukai berkenaan khususnya terhadap kos dan kelancaran pelaksanaan projek.
Menurutnya, sektor pembinaan kini sudah dikenakan SST pada pelbagai peringkat termasuk pembelian bahan binaan, penggunaan teknologi dan pelantikan subkontraktor.
“Apabila kerajaan mengenakan SST berasaskan nilai kontrak utama RM1.5 juta ke atas, maka ia akan menyebabkan berlakunya cukai berganda. Beban kos ini akan ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor.
“Bagi projek yang sedang berjalan, sebelum ini pun kontraktor sudah menanggung beban sekitar dua peratus daripada SST sedia ada. Jika ditambah lagi enam peratus tanpa kajian menyeluruh, ia akan memburukkan keadaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Negeri Perak kali ke-48 di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Majlis itu disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama, Yang Dipertua PKMM Perak, Datuk Jamaludin Abdul Rahim.
Mengulas lanjut, Mohd Rosdi berkata, pelaksanaan SST secara menyeluruh tanpa rundingan menyeluruh bersama pemain industri dikhuatiri memberi kesan negatif kepada perjalanan projek-projek pembinaan.
“Kita bukan sekadar bercakap soal kos, tetapi juga aspek kualiti dan kesempurnaan kerja. Beban kos akan menyebabkan kelewatan penyiapan projek dan boleh mengundang projek sakit.
“Akhirnya, matlamat kerajaan untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat tidak tercapai,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan, satu perbincangan berhubung isu tersebut pernah diadakan bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada awal April lalu namun tidak membuahkan hasil konkrit.
“Perlaksanaan ini sebenarnya di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. Justeru, saya sekali lagi merayu agar kerajaan menangguhkan sekurang-kurangnya selama setahun bagi membolehkan satu pelaksanaan terbaik dirangka.
“Kita faham kerajaan mahu menambah hasil pendapatan negara, tetapi mereka mesti juga melihat impak sebenar kepada rakyat sebagai pengguna akhir,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan kerejaan akan melaksanakan semakan semula kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan secara bersasar berkuat kuasa 1 Julai ini selaras dengan pengumuman Belanjawan 2025 pada Oktober tahun lalu.
Menerusi kenyataan Kementerian Kewangan, langkah itu bertujuan mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil dan meluaskan asas percukaian tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Skop cukai perkhidmatan (CP) sedia ada turut diperluaskan meliputi enam jenis perkhidmatan iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!