Peluasan cukai sewa komersial jejas peniaga, MRCA minta tangguh

SHAH ALAM – Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) bimbang peluasan cukai perkhidmatan ke atas sewaan komersial akan menambah beban peniaga runcit, khususnya yang mengendalikan kedai fizikal.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebagai langkah meningkatkan hasil negara serta memperkukuh kedudukan fiskal.
Peluasan tersebut melibatkan beberapa kategori barangan dan perkhidmatan baharu, termasuk sewaan dan pajakan premis komersial.
Langkah itu akan mula dikuatkuasakan secara rasmi bermula 1 Julai 2025, dengan kadar cukai perkhidmatan yang ditetapkan sebanyak lapan peratus.
MRCA dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan SST ke atas sewaan komersial dijangka memberi kesan besar kepada sektor runcit yang sedia berdepan pelbagai tekanan kos.
"Kos sewa adalah antara perbelanjaan utama peniaga.
"Pengenaan SST lapan peratus akan menambah lagi beban, apatah lagi mereka turut berdepan kenaikan gaji minimum, keperluan setem kontrak pekerja dan syarat kawal selia yang semakin ketat," katanya.
Menurut kenyataan itu, kesan daripada peningkatan kos bukan sahaja membebankan peniaga, malah dijangka mendorong kepada kenaikan harga barang di peringkat pengguna.
"Pengusaha mungkin tidak mampu menyerap kos tambahan ini, lebih-lebih lagi dalam suasana pengguna yang semakin berjimat cermat menjelang pengurangan subsidi oleh kerajaan," jelas MRCA lagi.
Sehubungan itu, MRCA menggesa kerajaan agar menangguhkan pelaksanaan SST ke atas sewaan dan pajakan komersial demi kelangsungan perniagaan dan kestabilan harga pasaran.
Tambah kenyataan itu, MRCA akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan pihak berkaitan agar sebarang pelaksanaan dasar bersifat adil, telus dan menyokong pertumbuhan sektor runcit secara mampan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

