Penghantar makanan dirempuh bas kilang, diseret sejauh 15 meter

Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang penghantar makanan dilanggar bas kilang di persimpangan lampu isyarat Jalan Masai Kong Kong/Jalan Berlian 12, Pasir Gudang, pada Khamis.
Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang penghantar makanan dilanggar bas kilang di persimpangan lampu isyarat Jalan Masai Kong Kong/Jalan Berlian 12, Pasir Gudang, pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Seorang penghantar makanan parah apabila motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah bas kilang di persimpangan lampu isyarat Jalan Masai Kong Kong/Jalan Berlian 12, di sini pada Khamis.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku pada jam 6 petang dan rakamannya turut tular di media sosial melibatkan seorang lelaki penghantar makanan berusia 20 tahun dengan sebuah bas pekerja di persimpangan lampu isyarat di laluan berkenaan.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku semasa bas yang dipandu seorang lelaki berusia 54 tahun bergerak menghala ke Masai ketika lampu isyarat hijau.

"Tiba-tiba, sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mangsa keluar dari simpang kiri lampu Jalan Berlian 12 ketika lampu isyarat sedang berwarna merah, lalu masuk ke laluan bas berkenaan.

"Keadaan ini mengakibatkan bas berkenaan tidak sempat menekan brek dan terus melanggar motosikal mangsa mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan sebelum terseret di bawah kenderaan ini sejauh 15 meter sebelum bas berhenti sepenuhnya," katanya.

Akibat perlanggaran itu beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI), di Johor Bahru untuk menerima rawatan di Zon Merah sementara pemandu bas tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Tambahnya, ketika ini mangsa didapati masih belum sedarkan diri.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ), 1987.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat daripada saksi boleh disalurkan kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!