25 keluarga di Kampung Jawa didakwa diusir tanpa pampasan sah

KLANG – Tindakan pengusiran dan perobohan rumah penduduk di Kampung Jawa yang terjejas akibat pembinaan Lebuhraya Taiping-Banting (WCE) disifatkan sebagai melampau dan tidak menghormati proses undang-undang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr Gunaraj George mendedahkan bahawa seramai 25 keluarga telah diarahkan berpindah secara paksa termasuk empat rumah yang dirobohkan tanpa sebarang perintah mahkamah yang sah serta tanpa kehadiran penguat kuasa berwibawa.
Menurut beliau, tindakan tersebut bukan sahaja menafikan hak penduduk malah dilakukan ketika proses tuntutan pampasan masih berjalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
“Perbicaraan kes ini dijadualkan berlangsung pada 10 Julai, 26 Ogos dan 31 Ogos 2025. Setakat ini, hanya 75 peratus pampasan telah disalurkan ke akaun peguam penduduk manakala baki 25 peratus masih dalam pertimbangan mahkamah.

“Tetapi malangnya, kontraktor WCE bertindak seolah-olah tiada undang-undang dengan memaksa penduduk keluar tanpa notis atau makluman, sekali gus mencemarkan prinsip keadilan serta hak asasi rakyat,” katanya pada Khamis.
Terdahulu, beliau hadir bertemu penduduk selepas menerima aduan daripada mereka yang mendakwa hidup dalam ketakutan dan tekanan susulan tindakan agresif yang diambil pihak terlibat tanpa rundingan wajar.
Sehubungan itu, beliau menegaskan tiga tuntutan utama bagi melindungi kebajikan penduduk terjejas iaitu menghentikan serta-merta semua bentuk pemindahan paksa dan perobohan sehingga mahkamah membuat keputusan muktamad berhubung pampasan.
Tegasnya, pihak WCE dan kontraktor juga perlu mematuhi undang-undang serta menghormati penduduk yang masih dalam proses tuntutan sah.
“Kerajaan negeri Selangor, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Daerah Klang juga diminta campur tangan segera bagi memastikan tiada pelanggaran hak berlaku,” tambahnya.
Dr Gunaraj turut menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan hak rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, khususnya mereka yang terkesan akibat pembangunan yang tidak beretika.
“Saya akan pastikan hak dan kepentingan penduduk sentiasa dipelihara dengan sewajarnya,” ujarnya.
Gesaan sama turut disuarakan oleh Pengerusi MIC Selangor, Datuk M Shanker Raj Ayanger yang menyelar tindakan kontraktor WCE sebagai tidak menghormati proses kehakiman.
“Penduduk berhak mendapat pampasan yang adil dan hanya selepas semua keputusan dimuktamadkan, barulah sebarang tindakan boleh diambil. Tindakan tergesa-gesa ini adalah tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Sokongan terhadap penduduk turut diberikan oleh Ahli Jawatankuasa MIC Pusat, Datuk V Gunalan dan Presiden Persatuan Perpaduan Sejahtera Kebangsaan, Selventhiran Muniandy yang menyifatkan tindakan itu sebagai pencabulan terhadap maruah rakyat biasa.
“Kami tidak menentang pembangunan, tetapi ia harus dilaksanakan dengan tertib, adil dan mengikut lunas undang-undang. Penduduk tidak boleh dijadikan mangsa dalam usaha mengejar kemajuan,” kata Gunalan.
Selventhiran pula menegaskan bahawa pihaknya sedang meneliti bentuk bantuan undang-undang yang boleh ditawarkan kepada keluarga terjejas sambil menyeru pihak berkuasa agar memantau rapat tindakan pihak kontraktor.
Kampung Jawa, Klang yang terletak dalam laluan projek Lebuhraya WCE, menyaksikan ketegangan sejak beberapa bulan lalu apabila sebahagian penduduk enggan berpindah selagi pampasan tidak dibayar penuh dan disahkan melalui saluran mahkamah sehingga Ogos depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

