Siasatan Jovian di Jakarta bukan di Bali

BANGI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa pegawai penyiasatnya berada di Bali, Indonesia bagi merakam percakapan Datuk Jovian Mandagie berhubung kes rasuah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pegawai penyiasat suruhanjaya itu sebenarnya berada di Jakarta bagi tujuan tersebut.
Menurut beliau, terdapat laporan media yang menyatakan pegawai penyiasat SPRM berada di Bali, namun dakwaan itu tidak benar.
"Rakaman percakapan melibatkan Jovian itu dilakukan di Jakarta," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertauliah SPRM Kali Kedua Tahun 2025.
Azam berkata, ada pihak yang bertanya kepadanya mengapa pegawai SPRM pergi ke Bali sedangkan beliau tidak pernah menyatakan perkara itu.
Sebaliknya, pegawai terbabit telah diarahkan ke Jakarta bagi merakam percakapan bekas menantu Ismail Sabri.
"Pegawai saya berada di Jakarta, bukan untuk berbulan madu tetapi untuk melaksanakan tugas," ujarnya.
Walaupun belum menerima laporan penuh, beliau yakin proses rakaman kenyataan telah berjaya dilakukan di Jakarta.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasukan penyiasat SPRM berada di Indonesia selama dua hari untuk mengambil keterangan pereka fesyen berusia 39 tahun itu bagi membantu siasatan kes membabitkan Perdana Menteri kesembilan.
Difahamkan, keterangan Jovian penting berikutan terdapat beberapa dokumen yang perlu disahkan oleh bekas suami kepada anak sulung Ismail Sabri.
Sebelum ini, SPRM memaklumkan bahawa keterangan Jovian akan diambil di Jakarta kerana beliau dilaporkan kembali menetap di negara berkenaan selepas mengumumkan penutupan operasi fesyennya tahun lalu.
Azam turut mengesahkan bahawa pihaknya akan merakam keterangan Jovian susulan siasatan terhadap pemilikan aset yang dikaitkan dengan Ismail Sabri.
Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia.
Dakwaan tersebut dikaitkan dengan tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Azam sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan dilakukan susulan arahan kepada Ismail Sabri untuk membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Ismail Sabri pada 10 Februari lalu telah membuat pengisytiharan harta, dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
