Persatuan Bekas Pegawai SPRM rakan kolaborasi baharu Rasuah Busters

Ishak (tengah) dan Nurhayati (kanan) ketika kunjungan hormat bertemu Hussamuddin (dua, kiri) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Rabu.
Ishak (tengah) dan Nurhayati (kanan) ketika kunjungan hormat bertemu Hussamuddin (dua, kiri) di Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi rakan kolaborasi baharu Rasuah Busters dalam usaha memerangi rasuah di negara ini secara berterusan dan menyeluruh.

Timbalan Presidennya, Ishak Abu Bakar berkata, kerjasama itu antara lain bertujuan membolehkan kedua-dua pihak memainkan peranan masing-masing menerusi pelaksanaan program atau kursus antirasuah yang dianjurkan bersama.

Beliau berkata, inisiatif tersebut diyakini mampu memberi impak serta imej positif kepada kedua-dua entiti yang selama ini aktif dalam pejuangan membanteras jenayah rasuah di negara ini.

“Melihat kepada senario sekarang, saya nampak kempen yang digerakkan Rasuah Busters memainkan peranan penting. Sebab itu, kami merasakan penting untuk bekerjasama kerana kita mempunyai misi dan visi yang sama dalam membanteras rasuah dalam negara.

"Walaupun kita tidak dapat hapuskan 100 peratus, sekurang-kurangnya kita dapat kawal rasuah daripada merebak dan menjadi tidak terkawal hingga memberi impak buruk kepada sosioekonomi dan negara,” katanya.

Terdahulu, Ishak mengadakan perbincangan bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub ketika kunjungan hormat ke Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa persatuan itu dianggotai beberapa nama besar yang berpengalaman luas dan memiliki pelbagai kepakaran termasuklah Datuk Seri Mustafar Ali yang pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Pengarah Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama dengan Persatuan Bekas Pegawai SPRM itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berpandangan, kehadiran Persatuan Bekas Pegawai SPRM sebagai rakan baharu Rasuah Busters merupakan satu peluang besar yang perlu digunakan sebaik-baiknya, sekali gus mampu memberi manfaat kepada rakyat.

"Saya yakin juga dengan kepakaran dalam kalangan ahli-ahli daripada bekas pegawai SPRM itu akan memberi nilai tambah besar dalam meningkatkan kesedaran dan juga apa sahaja usaha yang dilaksanakan pihak Rasuah Busters,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!