SPRM dijangka rekod keterangan Jovian esok

Jovian Mandagie
Jovian Mandagie
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka merekod keterangan pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, 39, di Jakarta, Indonesia esok, berhubung siasatan kes membabitkan bekas mentuanya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut sumber, keterangan Jovian akan direkodkan selama dua hari oleh pasukan penyiasat SPRM di lokasi yang tidak didedahkan di Jakarta, berikutan beliau kini menetap di negara itu.

Difahamkan, beberapa dokumen penting perlu disahkan oleh Jovian bagi membantu siasatan membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri itu.

Sumber berkata, Jovian dinamakan sebagai saksi oleh Ismail Sabri ketika keterangannya diambil SPRM sebelum ini, khusus bagi mengesahkan beberapa aset yang diisytiharkan kepada suruhanjaya berkenaan.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa pihaknya sedang meneliti kesemua aset terbabit berikutan jumlah serta sumber pendapatan Ismail Sabri yang pelbagai.

Difahamkan, Ahli Parlimen Bera itu memiliki beberapa syarikat termasuk dalam sektor swasta ketika tidak memegang sebarang jawatan kerajaan, selain pernah berkhidmat dalam pelbagai peranan.

Ismail Sabri disiasat atas pelbagai aspek, termasuk perolehan dana dan perbelanjaan berkaitan program promosi serta publisiti inisiatif ‘Keluarga Malaysia’ sepanjang tempoh beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Siasatan dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!