Rasuah RM26,000: Bekas penasihat bank, dua pengarah syarikat ditahan SPRM

KUALA LUMPUR - Tiga individu termasuk dua pengarah syarikat serta seorang bekas penasihat jualan runcit sebuah bank di ibu negara ditahan reman kerana disyaki meminta dan menerima rasuah berjumlah RM26,000.
Menurut sumber, kesemua suspek ditahan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung suapan sebagai dorongan untuk membantu, menyemak dan memasukkan permohonan pembiayaan peribadi milik pelanggan ke dalam sistem Financing Origination System (FOS) sebelum proses kelulusan bayaran.
Difahamkan, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan pada jam 5.30 petang Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku antara tahun 2022 dan 2023, di mana kedua-dua pengarah syarikat terbabit telah bersubahat bersama penasihat jualan runcit untuk memperoleh suapan berjumlah RM26,000.
“Kesemua suspek disyaki telah menerima suapan melalui transaksi pindahan wang ke akaun bank milik penasihat jualan runcit terbabit daripada akaun syarikat salah seorang pengarah terlibat,” katanya pada Rabu.
Sinar Harian difahamkan bahawa Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan ketiga-tiga suspek direman selama lima hari sehingga Ahad.
Keputusan itu dibuat selepas permohonan reman dikemukakan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
