Monsun Barat Daya diramal tidak ekstrem - Nadma

PUTRAJAYA – Monsun Barat Daya (MBD) yang sedang melanda negara ketika ini lebih biasa tanpa pengaruh ekstrem susulan status semasa El Niño Southern Oscillation (ENSO) kini berada dalam fasa neutral.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, situasi ENSO itu diramal berterusan sehingga Oktober depan.
"Secara ringkasnya, kita boleh menjangkakan monsun yang lebih biasa tanpa pengaruh ekstrem berbanding tahun sebelumnya," katanya dalam sesi taklimat persediaan menghadapi MBD di sini pada Khamis.
Menurutnya, kesan cuaca kering ini masih boleh menyebabkan punca risiko kesihatan, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan belukar serta jerebu, dan jika berpanjangan, ia boleh menjejaskan hasil pertanian.
Mengulas lanjut aspek pengurusan air, beliau berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan bahawa Empangan Malut, Kedah berada di tahap waspada kemarau hidrologi dengan status simpanan 37.6 peratus setakat 27 Mei.
"Esok kami akan bermesyuarat penyelarasan operasi pembenihan awan di negeri Kedah sebagai langkat proaktif mengatasi isu empangan Bukit Malut," jelas Abdul Halim.
Mengenai kebakaran terbuka, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah menangani 3,791 kes dari Januari hingga Mei lalu.
Daripada jumlah itu, sebanyak 547 kes direkodkan di Kedah (547), Johor (468), Terengganu (384), Selangor (368) dan Perak (357).
"Cabaran utama yang dihadapi termasuk keterbatasan sumber air untuk pembanjiran kawasan, ketidakseragaman data titik panas dan insiden kebakaran berulang," katanya.
Beliau berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) pula mencatatkan 125 titik panas di Malaysia dari 1Januari hingga 19 Mei.
Dalam tempoh yang sama, 2,391 kes pembakaran terbuka disiasat, 34 kompaun dikeluarkan dan 16 lagi dibawa ke mahkamah.
"Usaha penguatkuasaan dan program kesedaran awam akan terus dipergiatkan," katanya.
Tambah beliau, Nadma sebagai agensi penyelaras utama secara proaktif telah mencadangkan beberapa inisiatif untuk memperkukuh kesiapsiagaan.
Ini termasuk penyelarasan operasi pembenihan awan bersama Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Angkatan Tentera (ATM) dan Jabatan Metrologi (MET Malaysia) jika paras empangan menunjukkan penurunan ketara.
"JPS juga telah menyediakan sebanyak 539 pam bergerak di seluruh negara dan penggembelengan aset-aset lain jabatan dan agensi berkaitan seperti darat, air dan udara selaras dengan Arahan Nadma No. 1 Dasar Pengurusan Mekanisme Bencana Negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

