Rumah jadi 'port' lepak warga asing diserbu

KLANG - Bunyi bising di sebuah rumah sekitar kawasan Taman Klang Jaya di sini membawa kepada serbuan serta tangkapan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk pasangan suami isteri pada Rabu.
Premis yang dipercayai disewa oleh warga asing itu turut didakwa menjadi lokasi transit sebelum warga asing terbabit mendapatkan pekerjaan di sekitar kawasan Klang.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairul Aminus Kamaruddin berkata, operasi yang dijalankan kira-kira jam 10.20 malam itu berdasarkan risikan dan aduan penduduk sekitar sebelum memeriksa enam individu warga asing yang menghuni rumah berkenaan.
Beliau berkata, penduduk sekitar mendakwa sering terganggu dengan bunyi bising dari rumah tersebut yang dipercayai menjadi tempat transit warga asing.
"Serbuan dijalankan menahan empat warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berusia antara satu hingga 55 tahun.
"Individu yang ditahan terdiri daripada pasangan suami isteri bersama seorang anak perempuan mereka dan seorang lagi individu dipercayai rakan serumah," katanya dalam Op Sapu pada Rabu.

Beliau berkata, semakan mendapati antara kesalahan yang dikesan melibatkan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki permit sah dan tinggal lebih masa di negara ini.
"Siasatan mendapati suami yang berusia 55 tahun dipercayai bekerja sebagai buruh binaan, manakala isterinya yang berusia 41 tahun pula tidak bekerja dan hanya tinggal di rumah.
"Hasil risikan awal mendapati rumah tersebut disyaki dijadikan tempat persinggahan atau transit oleh warga Indonesia sebelum mereka berpindah ke lokasi lain, selain menjadi lokasi berkumpul terutamanya pada waktu malam," katanya.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Selangor, Shah Alam.
"Tindakan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
"Tindakan turut akan diambil terhadap mana-mana individu atau pemilik premis yang melindungi atau menyediakan tempat tinggal kepada PATI," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

