India halau 303 'warga asing' ke Bangladesh

Polis India menahan warga Bangladesh di India. - Gambar fail Agensi
Polis India menahan warga Bangladesh di India. - Gambar fail Agensi
A
A
A

GUWAHATI – Kerajaan India mula memperhebat pengusiran individu yang dianggap sebagai pendatang tanpa izin ke Bangladesh, namun aktivis hak asasi manusia mendakwa tindakan tersebut dilakukan secara sewenang-wenangnya dan berat sebelah terhadap umat Islam.

Sejak Mei 2025, negeri Assam di timur laut India telah ‘menghalau balik’ seramai 303 individu ke Bangladesh, daripada kira-kira 30,000 orang yang telah diisytiharkan sebagai ‘warga asing’ oleh pelbagai tribunal selama beberapa tahun lalu, kata seorang pegawai kanan.

Kebanyakan mereka yang dihalau merupakan penduduk lama di Assam dengan keluarga dan tanah di negeri tersebut, yang menjadi tempat tinggal puluhan ribu keluarga berketurunan Bangladesh, khususnya beragama Islam.

Aktivis menyatakan bahawa ramai yang tersenarai sebagai ‘warga asing’ sebenarnya rakyat sah, namun terlalu miskin untuk mencabar keputusan tribunal di mahkamah lebih tinggi.

“Pengusiran ini hanya menyasarkan orang Islam,” dakwa beberapa aktivis yang enggan dinamakan kerana bimbang tindakan balas. Setakat ini, jurucakap kerajaan Assam masih belum memberikan sebarang komen.

Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma, memberitahu Dewan Undangan Negeri pada Isnin bahawa tindakan tersebut dilakukan susulan tekanan daripada Mahkamah Agung India.

“Kita telah menghalau 303 orang dan tindakan ini akan diperhebat. Kita mesti lebih agresif demi menyelamatkan negeri ini,” tegasnya.

Beliau menjelaskan bahawa pengusiran ini melibatkan individu yang telah diisytiharkan bukan warganegara oleh Tribunal Warga Asing Assam.

Salah seorang mangsa, Khairul Islam, 51, bekas guru sekolah kerajaan, menceritakan bagaimana beliau ditahan polis dari rumahnya pada 23 Mei lalu, dibawa ke pusat tahanan, kemudian digari, ditutup mata dan dimuatkan ke dalam trak bersama 31 orang lain sebelum dihantar ke sempadan.

Artikel Berkaitan:

“Kami dipaksa berjalan di tengah malam menuju ke arah Bangladesh. Ia sangat menakutkan,” katanya.

Beliau dan 13 orang lain kemudiannya terdampar di kawasan ‘tanah tiada pemilik’ antara kedua-dua negara, sebelum diselamatkan oleh Pengawal Sempadan Bangladesh dan dibawa ke kem mereka. Beberapa hari kemudian, setelah isterinya membuat rayuan, beliau dipulangkan semula ke India kerana kesnya masih dalam proses rayuan.

“Saya tidak tahu nasib yang lain. Tiada siapa tahu di mana mereka sekarang,” katanya.

Tindakan ini tidak terhad di Assam sahaja. Di bandar Ahmedabad, Gujarat, polis mendakwa telah mengenal pasti lebih 250 warga Bangladesh yang tinggal secara haram dan kini dalam proses untuk dihantar pulang.

Peguam hak asasi manusia, Aman Wadud, yang juga ahli Parti Kongres, menyifatkan pengusiran itu sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.

“Ada ketakutan yang luar biasa dalam kalangan masyarakat sekarang,” katanya.

Kerajaan Bangladesh belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi, namun sebelum ini Penasihat Hal Ehwal Luar Negaranya, Touhid Hossain mengesahkan bahawa pihaknya sedang berhubung dengan New Delhi berkenaan isu tersebut. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!