36 premis diserbu, 130 warga asing dan dua majikan tempatan ditahan

JOHOR BAHRU- Seramai 130 warga asing dan dua majikan warga tempatan ditahan dalam operasi serentak melibatkan 36 premis di lima daerah di sini pada Jumaat.
Kesemua warga asing itu diberkas dalam beberapa operasi bermula pada jam 12 tengah malam yang melibatkan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa Setia Tropika serta Unit Penguatkuasa Cawangan Muar, Segamat, Mersing dan Batu Pahat.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi itu melibatkan daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Mersing, Muar dan Segamat.
"Di Johor Bahru, seramai 90 warga asing ditahan selepas pemeriksaan di 18 premis termasuk kilang dan penempatan pekerja tapak pembinaan. Semua warga asing yang ditahan berusia antara 21 hingga 54 tahun.
"Di Batu Pahat, sembilan warga asing ditahan dalam Ops Gegar. Dua majikan lelaki warga tempatan berusia 32 dan 53 tahun yang merupakan penjaga dan pemilik pusat refleksologi tersebut turut ditahan.
"Sementara operasi di Mersing melibatkan serbuan Ops Bersama di tujuh premis, berjaya menahan 12 warga asing berusia antara 18 hingga 55 tahun," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau memaklumkan, Ops Selera, Ops Gegar dan Ops Sapu di Muar yang melibatkan serbuan di tujuh premis berjaya menahan 12 warga asing berusia antara 21 hingga 43 tahun.
Menurutnya, Ops Gegar yang melibatkan serbuan di tiga pusat refleksologi di Segamat berjaya menahan tujuh warga asing berusia antara 23 hingga 40 tahun.
Tambah beliau, keseluruhan warga asing yang ditahan dalam operasi itu melibatkan empat wanita warganegara China, lima wanita Thailand, 17 lelaki dan 17 wanita Indonesia, enam wanita Vietnam, 23 lelaki dan lima wanita Myanmar, dua lelaki warga India, 36 lelaki Bangladesh serta 15 lelaki Pakistan.
"Semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Tahanan warga asing ditempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas, Pontian untuk siasatan dan tindakan lanjut," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 12 notis hadir ke pejabat dikeluarkan JIM Johor bagi membantu siasatan.
Menurutnya, JIM akan terus mempergiat penguatkuasaan dan operasi bagi membanteras warga asing yang melakukan kesalahan bawah akta dan peraturan Imigresen.
"Jabatan ini juga akan memerangi dan tidak akan berkompromi dengan majikan, pemilik premis serta individu yang didapati menggaji serta melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

