Tindakan kerajaan mesti seiring usaha perkukuh keselamatan jalan raya

TINDAKAN yang diambil oleh kerajaan dalam isu kemalangan yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Jeli-Gerik, Perak pada Isnin lalu dilihat sebagai satu peringatan tegas kepada semua pihak bahawa keselamatan jalan raya tidak boleh dipandang ringan.
Pada pagi Isnin, seramai 15 pelajar UPSI maut apabila bas persiaran yang dinaiki mereka terbalik selepas hilang kawalan, lalu melanggar penghadang jalan dan turut membabitkan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Bas berkenaan membawa 42 pelajar, terdiri daripada lapan lelaki dan 32 perempuan, berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun yang berasal dari Pantai Timur.
Pada Rabu, kerajaan memaklumkan bahawa permit syarikat pengendali bas yang terlibat dalam nahas di JRTB berdekatan Tasik Banding, Gerik itu dibatalkan serta-merta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam sidang media khas berkata, walaupun terdapat proses rayuan berkaitan pembatalan permit, dalam kes berkenaan ia tidak akan dilayan.
Ujar beliau, keputusan tersebut diambil susulan hasil siasatan mendapati syarikat beralamat di Kedah itu telah melakukan dua kesalahan besar, iaitu memajak permit bas kepada pihak ketiga di Kelantan, dengan bayaran RM500 sebulan.
Langkah pantas kerajaan itu menghantar mesej jelas bahawa aspek keselamatan tidak boleh dikompromi.
Kesannya, syarikat-syarikat lain kini lebih berwaspada dan berkemungkinan akan meningkatkan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) serta penyelenggaraan kenderaan.
Selain itu, pembatalan permit tanpa peluang rayuan juga memberi sedikit kelegaan kepada keluarga mangsa, menunjukkan bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam insiden berkenaan tidak akan terlepas begitu sahaja.
Bagaimanapun, usaha jangka panjang yang lebih sistematik perlu dilakukan agar peristiwa sama tidak berulang.
Antaranya, institusi pendidikan harus mewujudkan protokol ketat dalam pemilihan syarikat bas untuk program luar, termasuk pemeriksaan dokumen kenderaan dan latar belakang pemandu sebelum perjalanan.
Sistem pengangkutan pelajar dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu diperkukuh mengikut prinsip keselamatan, kebertanggungjawaban dan kecekapan bagi memastikan nyawa pengguna jalan raya sentiasa terjamin.
Maksudnya, tindakan tegas kerajaan perlu seiring dengan langkah mempertingkatkan keselamatan jalan raya di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!