Nahas pelajar UPSI: Pemilik bas dipanggil beri keterangan

IPOH - Pemilik bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas tragik yang meragut 15 nyawa di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik–Jeli dekat Gerik, Isnin lalu, telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, individu tersebut akan hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik pada Khamis bagi memberikan keterangan.
“Pasukan kami telah pergi ke syarikat berkenaan di Kedah untuk tujuan pengesahan.
“Pemilik bas itu masih perlu menyelesaikan beberapa urusan dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) kerana bas tersebut didaftarkan sebagai bas pelancongan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.
Menurut Noor Hisam, setakat ini pihaknya telah merakam keterangan 18 individu termasuk pelajar UPSI dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang terlibat dalam pelanggaran itu.
Katanya, saksi lain termasuk pemilik kamera papan pemuka (dashcam) berikutan rakamannya tular di media sosial serta doktor forensik dari Hospital Gerik.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi itu, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dikatakan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah MPV yang dinaiki empat sekeluarga.
Kemalangan itu menyebabkan 15 pelajar UPSI terdiri daripada lima lelaki dan 10 wanita maut, manakala pemandu serta penumpang MPV cedera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
