Naik taraf jalan segera sebelum lebih banyak nyawa melayang

TRAGEDI di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Isnin lalu sekali lagi menjadi episod keluhan yang tidak berkesudahan.
Ia sepatutnya membuka mata pihak berkuasa, namun aisu utama di sebalik tragedi ini sudah lama bergema iaitu penyelenggaran jalan yang sangat daif.
Jalan ini menjadi nadi utama yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat. Namun sayangnya, tahap penyelenggaraan dan keselamatannya dilihat masih di takuk lama.
Pengguna tetap laluan ini sudah lama mengadu tentang permukaan jalan yang tidak rata, lubang di sana sini, ketiadaan sistem pencahayaan mencukupi, papan tanda tidak jelas dan selekoh berbahaya yang sering menjadi perangkap maut.
Namun, segala aduan seakan tenggelam tanpa tindakan tegas. Apa ditunggu lagi? Lebih banyak korban?
Merak Jalanan percaya bahawa sudah tiba masanya pihak berwajib mengambil tindakan lebih konkrit. Mudah kata, penyelenggaraan berkala tidak boleh lagi dilakukan secara ala kadar.
Audit keselamatan jalan perlu dilakukan segera. Selekoh-selekoh tajam harus dipasang pengadang yang lebih kukuh, papan tanda perlu diperbaharui dan sistem pencahayaan ditambah khususnya di kawasan sering berkabus.
Pemasangan kamera pemantau dan papan amaran digital juga boleh membantu mengingatkan pemandu tentang risiko yang menanti.
Merak Jalanan merayu sangat jangan tunggu ada lagi nyawa melayang. Laluan ini bukan sekadar jalan, ia adalah tanggungjawab. Keselamatan pengguna bukan pilihan, tapi kewajipan.
Merak Jalanan juga menyeru pihak bertanggungjawab untuk turun padang, tengok sendiri keadaan jalan.
Naik taraf dan selenggara sekarang sebelum lebih banyak air mata tumpah. Jalan sepatutnya membawa kita ke destinasi, bukan ke liang lahad.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
