X

Kindly register in order to view this article
!

Komunikasi lemah hingga PH tumbang perlu jadi iktibar

Muzammil
A
A

SHAH ALAM - Kegagalan komunikasi politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) hingga mereka tumbang perlu dijadikan iktibar oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak mengalami nasib sama dalam tempoh dua tiga tahun akan datang atau semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muzammil Ismail berkata, perkara itu menjadi cabaran besar buat kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana sekiranya ia tidak diambil pengajaran, kerajaan PN juga mungkin akan berakhir.

Katanya, PH gagal menggunakan saluran media untuk menyampaikan penerangan secara berkesan menyebabkan persepsi buruk terhadap mereka tidak dapat dikawal hingga mereka akhirnya jatuh.

"Perkara itu yang menjadi kanser mengapa jatuhnya kerajaan PH pada hari ini kerana naratif (cerita) prejudis dan persepsi (negatif) tidak dapat dikawal terutama dalam isu-isu sensitif seperti ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) dan tulisan jawi serta pelbagai lagi.

"Jadi saya lihat Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah perlu belajar dari kesilapan menteri terdahulu, Gobind Singh Deo," katanya selaku panelis Wacana Sinar Siri 159 bertajuk 'Menteri Baharu: Apa Harapan Rakyat?' di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15 di sini hari ini.

Wacana itu yang dikendalikan moderator, Amin Idris turut menampilkan dua lagi panelis iaitu Exco Pemuda UMNO, Fadzmel Fadzil dan penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian.

Mengulas lanjut, Muzammil berkata, kegagalan penyampaian kerajaan yang berkesan itu merupakan masalah besar yang dilihat sendiri oleh Armada ketika turun ke kampung-kampung.

"Ketika kami turun berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) ada antara orang kampung masih ingat Tun Dr Mahathir Mohamad masih berada dalam Barisan Nasional (BN).

"Jadi ia menunjukkan stesen penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tidak digunakan sebaik mungkin. Hari ini kita gagal mengawal naratif agama, PH dikatakan kuda DAP dan sebagainya. Naratif yang mengaitkan DAP itu sendiri pun sudah buatkan orang Melayu dah takut.

"Pergilah ke kampung-kampung mana sekalipun, bila ditinjau kita akan dapati kegagalan kita membuat penerangan sama ada menerusi televisyen, radio dan apatah lagi media sosial," katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan PN perlu memperbaiki keadaan itu.

Sementara itu, mengulas mengenai barisan Kabinet yang baharu dibentuk, Muzzamil berkata, barisan jemaah menteri itu boleh diklasifikasikan sebagai Kabinet yang bekerja dan ia turut mendapat maklum balas positif daripada rakyat.

Katanya, walaupun terdapat perbezaan ketara dari segi jumlah barisan Kabinet antara kerajaan PH dan PN kerana Kabinet Muhyiddin berjumlah 70 manakala PH 51 orang, namun ia tidak dilihat sebagai satu pembaziran.

"Kita dapat lihat beberapa kementerian telah dipecahkan seperti Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

"Perkara ini perlu dilihat secara positif kerana bila ia digabungkan berlaku kesukaran untuk menyampaikan dasar-dasar dan kita nampak banyak dasar menjadi beban kepada pegawai-pegawai menteri itu sendiri.

"Dalam keadaan sekarang kerajaan baharu ini belum lagi diuji dan ia boleh runtuh bila-bila masa jadi ada keperluan untuk memastikan setiap kementerian itu boleh menjalankan fungsi mereka sepenuhnya," katanya.

Menyentuh mengenai harapan rakyat terhadap kerajaan baharu, katanya, rakyat mengidamkan kerajaan yang tenang, kurang drama atau menteri yang bertindak seakan badut yang mengeluarkan kata-kata sumbang.

"Rakyat harapkan kerajaan yang stabil, berintegriti dan paling penting PN perlu belajar dari kesilapan PH dan BN," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!