X

Kindly register in order to view this article
!

Harga minyak jatuh: Malaysia kini bergantung cara PM kemudi kapal terbang

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Kejatuhan harga minyak dunia yang membawa kepada penurunan harga minyak petrol bukan perkara yang wajar diraikan kerana ia memberi isyarat bahawa ekonomi global tidak stabil seterusnya meletakkan Malaysia di kedudukan berbahaya.

Profesor Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali berkata, penularan wabak koronavirus (Covid-19) dan kelembapan ekonomi sebelum ini telah menjejaskan permintaan minyak dan menyebabkan harga minyak dunia turun mendadak.

Menurutnya, keadaan itu memberi cabaran kepada Malaysia selaku negara yang banyak bergantung dan berinteraksi dengan negara-negara pengeluar minyak global.

"Kita harus faham bahawa penurunan harga minyak semata-mata bukanlah sesuatu yang menguntungkan.

"Mungkin dalam konteks perbelanjaan poket kita, kita rasa belanja minyak kurang. Tetapi kalau ia memberi implikasi ke atas ekonomi negara, akhirnya ia menghentak balik kepada kita. Jadi kita harus berhati-hati dalam menentukan harga minyak yang akhirnya sampai kepada kita," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19 punca harga minyak susut

Ulasan beliau dipetik menerusi paparan video bertajuk 'Ekonomi Dunia Bergelora: Malaysia di Selekoh Merbahaya' yang dimuat naik menerusi saluran TV NAG Malaysia, di YouTube.

Harga minyak mentah dunia jatuh mendadak selepas perjanjian antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara sekutu menemui jalan buntu.

Firma penyelidikan, MIDF Research sebelum ini berkata, kejatuhan mendadak harga minyak dunia susulan perang harga di antara pengeluar utama minyak dunia iaitu Arab Saudi dan Rusia berkemungkinan menyaksikan harga runcit minyak terutama RON95 berpotensi turun sehingga RM1.32 seliter.

Dr Noor Azlan berkata, kini Malaysia ibarat sebuah kapal terbang yang sedang berdepan 'air turbulence' yang dikemudi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua juruterbang (kapten).

Katanya, barisan Kabinet adalah pembantu juruterbang, penjawat awam pula selaku anak kapal dan rakyat sebagai penumpang.

"Kapten harus beri tumpuan khusus, memastikan kapal terbang dapat mendarat dengan baik manakala yang lain juga mempunyai tanggungjawab masing-masing.

"Kalau ke empat-empat komponen ini memahami apa yang kita hadapi, saya percaya 'kapal terbang' ini boleh mendarat dengan baik," katanya.

Beliau menambah, dalam konteks Malaysia, kelembapan ekonomi, wabak Covid-19, cabaran kestabilan politik negara, dan konteks ekonomi (kedudukan fiskal, hutang negara dan juga beberapa isu-isu kos sara hidup) adalah 'turbulence' yang dihadapi.

"Kita mengharapkan Muhyiddin bersama kepimpinan barisan Kabinet akan dapat mengemudi 'kapal terbang' Malaysia ini supaya kita dapat melalui gelora dan berjaya melepasi selekoh yang tajam ini dan akhirnya kita dapat mendarat dengan baik dan dapat meneruskan perjalanan kita," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!