'Sepatutnya ayah bawa bas itu'

KOTA BHARU - Pemandu bas yang sepatutnya memandu bas yang disewa khas oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkejut kerana bas berkenaan mengalami kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pagi Isnin.
Mat Seman Che Lah tidak mengambil tugasan berkenaan kerana mahu menghantar anak-anak pulang ke Kuala Lumpur selepas menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung.
Anaknya, Noraini Mat Seman berkata, bapanya ada menerima permintaan pihak pengurusan bas supaya menghantar pelajar berkenaan.
"Abah menolak kerana mahu menghantar saya pulang ke Kuala Lumpur dengan kereta malam tadi.
"Kawan abah yang selalu bersamanya pula perlu menghadiri kenduri," katanya.
Jelas Noraini lagi, bapanya yang juga bekas pemandu bas sekolah merupakan pemandu kedua bas berkenaan dan sudah lama bekerja dengan syarikat itu.
Dalam pada itu tular di media sosial dakwaan bahawa seorang daripada pemandu diganti dengan pemandu lori namun syarikat bas terbabit menafikannya.
Media sebelum ini melaporkan polis akan menjalankan siasatan terperinci termasuk aspek pemandu dan teknikal bagi mengenal pasti punca kemalangan maut membabitkan 15 pelajar Sultan Idris (UPSI).
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
