36 maut, 12 hilang dalam 108 operasi Carilamat Maritim Malaysia

Operasi Carilamat terus digerakkan tanpa mengira masa, termasuk ketika musim perayaan. (Gambar kecil: Mohd Rosli)
Operasi Carilamat terus digerakkan tanpa mengira masa, termasuk ketika musim perayaan. (Gambar kecil: Mohd Rosli)
A
A
A

PUTRAJAYA – Seramai 36 individu maut manakala 12 lagi masih hilang dalam 108 operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) yang dilaksanakan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan negara setakat 31 Mei lalu.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, seramai 203 orang berjaya diselamatkan dalam operasi melibatkan 251 mangsa.

"Sepanjang tahun 2024, sebanyak 226 kes Carilamat direkodkan membabitkan 1,348 mangsa.

"Daripada jumlah itu, 1,259 berjaya diselamatkan manakala 64 maut dan 25 lagi masih belum ditemukan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, operasi Carilamat terus digerakkan tanpa mengira masa, termasuk ketika musim perayaan.

"Ini secara langsung membuktikan kesiapsiagaan Maritim Malaysia dalam menangani kecemasan di laut.

"Tiada istilah cuti bagi kami, sebarang isyarat kecemasan memerlukan tindakan segera walaupun ketika Aidiladha," katanya.

Menurutnya, Maritim Malaysia diberi mandat sebagai agensi utama dalam pengurusan operasi Carilamat di laut berdasarkan Seksyen 6(a) dan 6(b) Akta APMM 2004 (Akta 633) serta Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20, berlandaskan panduan National Search and Recsue (SAR) Manual (NAMSAR).

"Bagi memperkasa kecekapan operasi, Maritim Malaysia membangunkan prosedur operasi standard (SOP) Carilamat tersendiri bagi menjamin kepantasan dan keselamatan dalam setiap misi.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, Maritim Malaysia turut melaksanakan program Preventive SAR secara berkala melibatkan taklimat komuniti, ceramah keselamatan, pameran serta dialog bersama nelayan dan masyarakat maritim," katanya.

Mohd Rosli berkata, sempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) yang disambut pada 6 Jun setiap tahun, pelbagai program akan diadakan secara besar-besaran pada 28 Jun ini di Tanjung Harapan, Selangor.

"Antaranya termasuk demonstrasi menyelamat di laut, aktiviti ‘Berapung Untuk Hidup’, pameran keselamatan, sesi dialog bersama komuniti maritim serta jualan Rahmah bermula jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari.

"Tarikh 6 Jun dipilih sebagai HKKM sejak 2021 bagi memperingati penyerahan rasmi tugas penyelaras SAR maritim daripada Jabatan Laut Malaysia kepada Maritim Malaysia pada 2006," katanya.

Tambahnya, jika Aidiladha memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, anggota Maritim pula terus berkorban masa, tenaga dan nyawa demi menyelamatkan insan yang tidak dikenali di lautan luas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!