3 maut bot terbalik: Maritim Malaysia usaha naikkan bahagian hadapan bot

Operasi menaikkan bot yang terbalik di perairan Tanjung Harapan sedang dijalankan pada Sabtu.
Operasi menaikkan bot yang terbalik di perairan Tanjung Harapan sedang dijalankan pada Sabtu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menjalankan operasi menaikkan bot yang terbalik dalam kejadian di perairan Tanjung Harapan di sini pada Sabtu.

Pegawai Operasi Unit Penguatkuasaan dan Eksais Maritim Selangor, Leftenan Maritim Mohd Syafiq Sazali berkata, usaha menaikkan keseluruhan struktur bot kini berada di fasa kedua melibatkan bahagian hadapan yang lebih mencabar.

"Buat masa ini, kami telah berjaya menaikkan bahagian belakang bot menggunakan peralatan kren.

"Kami sedang menunggu penyelam untuk memasang tali di bahagian bawah haluan sebelum sambungan dilakukan ke permukaan kren bagi menarik bahagian depan pula,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian di Tanjung Harapan di sini pada Sabtu.

Katanya, proses tersebut rumit memandangkan pemasangan tali di bawah bot memerlukan kepakaran penyelam serta mengambil kira keadaan arus dan jarak penglihatan di dasar laut.

"Keadaan paras air yang sedang pasang sedikit sebanyak membantu operasi kerana bot masih mempunyai daya apungan.

"Ini memudahkan pemasangan tali berbanding waktu air surut di mana bot akan lebih melekat pada dasar," katanya.

Menurutnya, selepas bot berjaya dinaikkan sepenuhnya, pihaknya akan mengepam keluar air dan menjalankan pemeriksaan terperinci ke atas ruang dalaman bot untuk memastikan tiada mangsa lain yang terlibat dalam kejadian ini.

"Kerja-kerja pencarian di permukaan air juga masih dijalankan dengan bantuan lebih empat aset dari agensi terlibat serta beberapa bot milik Kelab Layar Diraja Selangor.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga individu termasuk seorang kanak-kanak maut manakala sepasang suami isteri masih hilang apabila bot dinaiki mereka terbalik dalam kejadian di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang.

Mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Gan Hon Tat, 32, dan isterinya, Careen Man, 29, kedua-duanya berasal dari Klang Utama.

Anak mereka, Darren Gan, 3, ditemukan maut dalam ruang hadapan bot bersama dua lagi mangsa iaitu Cheu Son Hin, 50, dan Fong Yong Sen, 29, yang merupakan rakan kepada pasangan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!