Tiga sekawan tak mengaku lakukan rompakan bersenjata

BUTTERWORTH - Tiga sekawan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dengan menggunakan kayu pada Mac lalu.
Tertuduh, Abdul Rahman Abdul Ali, P Jayadev, dan M Loganathan yang kesemuanya berusia 23 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara bersama dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun menggunakan kayu cota dengan mengambil wang tunai dan rokok di sebuah kedai serbaneka.
Kesalahan itu dilakukan di 7-Eleven Taman Seri Emas Indah, Nibong Tebal kira-kira jam 6.04 pagi pada 15 Mac lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang yang dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Aini Yahya manakala tertuduh pertama diwakili peguam C Hari Prassaad Rao dan dua lagi tertuduh tidak diwakli peguam.
Ketika prosiding, Nurul Aini tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh.
Bagaimanapun, dalam mitigasi rayuan, peguam yang mewakili tertuduh Abdul Rahman meminta budi bicara mahkamah membenarkan jaminan berdasarkan Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah.
"Anak guam saya merupakan pekerja logistik dan perlu menyara ibunya yang mempunyai sakit pinggang kronik sehingga tidak mampu mengangkat barang berat sekali gus memerlukan bantuan anaknya untuk menjalani kehidupan harian.
"Untuk makluman mahkamah anak guam saya juga direman selama 28 hari serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ini merupakan kesalahan pertamanya, justeru saya mohon mahkamah memberikan jaminan minima,” katanya.
Tertuduh Jayadev dan Loganathan pula merayu agar jaminan minima atas alasan mereka perlu menyara keluarga.
Zulhazmi kemudian membenarkan masing-masing tiga tertuduh itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran,
Sementara itu, Abdul Rahman dan Jayadev turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompakan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 4 pagi pada 24 April lalu di sebuah kediaman di Taman Pekaka di Nibong Tebal.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun selain hendaklah dikenakan denda atau sebat.
Hakim kemudian membenarkan masing-masing mereka diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan sama dengan pertuduhan pertama.
Pada masa sama, Zulhazmi turut menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan sama terhadap Abdul Rahman selepas dia mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ketiga iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 46 tahun ketika melakukan rompakan di sebuah kediaman di Taman Sempadan, Nibong Tebal pada jam 4 pagi, 9 Mac lalu.
Kesemua kes akan disebut semula pada 1 Julai depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
