[VIDEO] Tiga beradik mengaku tidak bersalah merusuh di Bahau

A
A
A

JEMPOL - Tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bahau di sini pada Rabu atas pertuduhan merusuh di Taman ACBE, Bahau minggu lalu.

Tiga beradik itu, M Suresh Kumar, 36; M Ganesan, 35, dan M Dinesh, 29, diwakili peguam, T Daneish membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Norshazwani Ishak sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mereka bersama tujuh yang lain dibawa ke mahkamah bagi pertuduhan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh melakukan kesalahan perbuatan merusuh dan semasa rusuhan itu memiliki sebuah helmet di hadapan sebuah kedai kira-kira jam 10 malam pada Jumaat.

Kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Kesemua tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Bahau kira-kira jam 9 pagi.
Kesemua tertuduh tiba di Mahkamah Majistret Bahau kira-kira jam 9 pagi.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Huzaifah Abdul Talib menawarkan ikat jamin sebanyak RM10, 000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam mewakili tiga beradik itu merayu mahkamah mengurangkan wang ikat jamin kerana mempunyai tanggungan ibu bapa serta anak.

Artikel Berkaitan:

Daneish berkata, wang ikat jamin RM10, 000 itu adalah terlalu tinggi bagi kes di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang tidak serius.

"Tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri dan berjanji akan melapor diri di balai berhampiran serta hadir pada sebutan kes akan datang," katanya.

Selepas mendengar permohonan itu, Norshazwani menetapkan ikat jamin sebanyak RM4, 500 setiap seorang dengan sebutan semula kes pada 21 Mac depan.

Dalam pada itu, tujuh yang lain mengaku bersalah dengan seorang daripada tertuduh, C Ravindran, 29 yang mempunyai dua rekod atas kesalahan sama pada 2016 dan 2019 dijatuhkan hukuman enam hari penjara dan denda RM5, 000 atau sembilan bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan.

Sementara itu, enam yang lain didenda RM4, 500 atau penjara sembilan bulan jika gagal menjelaskan bayaran itu.

Media sebelum melaporkan polis menahan semua suspek selepas dipercayai terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata sehingga menyebabkan kecederaan kepada tiga daripada suspek.

Tiga yang cedera berusia 28 hingga 43 tahun diserang menggunakan topi keledar dan telah dirujuk ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.

Sebelum itu, polis menerima maklumat kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di lokasi kira-kira jam 10 malam.

Kejadian dipercayai berpunca daripada kemalangan dan membawa kepada pertengkaran melibatkan dua kumpulan lelaki warga tempatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!