‘Zaki Bijak’ tamatkan misi kayak solo

Zaki Bijak tiba di Jeti Pekan Riverfront jam 4.45 petang, Ahad menamatkan misi solo kayak yang bermula sejak 23 Mei lalu. FOTO: IHSAN ZAKI
Foto ihsan Zaki
Zaki Bijak tiba di Jeti Pekan Riverfront jam 4.45 petang, Ahad menamatkan misi solo kayak yang bermula sejak 23 Mei lalu. FOTO: IHSAN ZAKI Foto ihsan Zaki
A
A
A

PEKAN - Bekas pesakit kanser darah atau limfoma Hodgkin tahap tiga, Mohd Zaki Yamani Azman menamatkan misi solo berkayak merentasi Sungai Pahang dari Cameron Highlands ke Pekan membabitkan jarak 550 kilometer (km) pada Ahad.

Terkenal dengan gelaran 'Zaki Bijak', anak kelahiran Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar, Jerantut berusia 36 tahun itu tiba di Jeti Pekan Riverfront pada jam 4.45 petang.

Misi yang mengambil masa 10 hari itu diadakan sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Cancer Fighter Malaysia (CFM) sebagai simbol ketabahan dan harapan kepada semua pejuang serta bekas pesakit kanser di seluruh negara.

Memulakan ekspedisi kayak pada 23 Mei lalu, anak bongsu daripada lima beradik itu mengakui faktor cuaca antara penyebab kelewatan ketibaannya di sini berbanding sasaran awal, iaitu menamatkan misi tersebut sehari lebih awal.

“Selain itu, keadaan arus sungai yang deras serta keletihan juga menjadi faktor kelewatan.

“Namun alhamdulillah, misi ini berjaya ditamatkan seperti yang dirancang. Saya amat menghargai kerjasama dan sokongan antaranya pihak polis, bomba, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), Pengakap Pahang, Majlis Daerah Kuala Lipis dan lain-lain,” tambahnya.

Zaki Bijak yang terus bersemangat untuk melakukan pelbagai misi hingga kini.
FOTO: IHSAN ZAKI
Zaki Bijak yang terus bersemangat untuk melakukan pelbagai misi hingga kini. FOTO: IHSAN ZAKI

Ditanya mengenai perancangan selepas ini, beliau merancang pelbagai misi kayak termasuk di sungai di luar Pahang.

“Saya berhasrat untuk melakukan misi sama di Johor, kemungkinan di Sungai Muar.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kayak Sungai Tembeling sejauh 136km selama empat hari tiga malam bermula 29 Ogos depan anjuran Kelab Kayak Kawan-Kawan Kuala Lipis dan insya-ALLAH jika tiada aral melintang, saya akan terus bersemangat untuk membuktikan kemampuan dan semangat juang yang ada,” katanya lagi.

Mula menghidap kanser pada 2014 dan bebas sepenuhnya sejak beberapa tahun lalu, beliau turut dikenali dengan beberapa misi sebelum ini antaranya Jelajah Borneo dengan RM1 dan Jelajah Semenanjung secara tumpang (hitchhiking).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!