Program khas KanWork perkukuh sokongan fizikal, mental pesakit kanser

Sukarelawan Sokongan Pesakit 'KanWork Di Sini' di Hospital Putrajaya. (Gambar kecil: Nor Aida Maskor)
Sukarelawan Sokongan Pesakit 'KanWork Di Sini' di Hospital Putrajaya. (Gambar kecil: Nor Aida Maskor)
A
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Kanser KanWork bakal menganjurkan tiga program utama sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhannya bagi memperkukuh sokongan terhadap pesakit kanser, survivor dan penjaga pesakit.

Antara program yang akan diadakan ialah Berqigong bersama KanWork, Berjalan bersama KanWork dan KanWork Charity Hi Tea 2025.

Pengurus KanWork, Nor Aida Maskor berkata, sambutan tersebut merupakan simbol penghargaan terhadap perjuangan dua dekad pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dalam membantu komuniti pesakit kanser melalui pendekatan fizikal, emosi dan mental.

Menurutnya, KanWork yang ditubuhkan pada tahun 2005 dan berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kini mempunyai 430 ahli.

"Majoriti ahli persatuan adalah wanita dan 80 peratus daripadanya merupakan penghidap kanser payudara, selain pesakit kanser darah, kolon dan lain-lain.

"Matlamat kami bukan sahaja membantu semasa rawatan, tetapi juga mendampingi mereka sepanjang proses pemulihan dan kehidupan seterusnya.

“Kami mahu sambutan ini menjadi titik pertemuan semula, mengingatkan semua bahawa pesakit dan penjaga tidak pernah berjuang sendirian. Selama 20 tahun, KanWork berdiri sebagai sokongan, memberi panduan, semangat dan maklumat sahih kepada pesakit,” katanya kepada Sinar Harian.

Majlis Jalinan Aidilfitri KanWork 2025.
Majlis Jalinan Aidilfitri KanWork 2025.

Artikel Berkaitan:

Nor Aida memberitahu, program pertama ialah Berqigong bersama KanWork yang dijadual berlangsung pada 14 Jun ini dengan kerjasama Persatuan Guolin Qigong Malaysia dan terbuka kepada semua.

Menurutnya, Qigong ialah senaman fizikal yang memberi fokus kepada pernafasan.

"Teknik pernafasan ini membolehkan pesakit kanser menyedut lebih banyak oksigen bagi membantu meningkatkan sistem imun badan.

“Ia sangat sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk mereka yang sedang menjalani rawatan atau dalam fasa pemulihan. Senaman ini tidak membebankan tubuh dan memberi kesan yang baik secara semula jadi.

“Kami percaya kesihatan bukan hanya bergantung pada ubat, tetapi juga keseimbangan fizikal dan mental,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, program Berjalan bersama KanWork pula akan diadakan dari 15 Jun hingga 31 September 2025.

Katanya, menerusi program tersebut, peserta digalakkan berjalan sekurang-kurangnya 20,000 langkah dalam tempoh yang ditetapkan.

"Cabaran ini terbuka kepada semua dan boleh dilakukan secara fleksibel di mana-mana sahaja. Simbolik 20,000 langkah itu mewakili perjalanan 20 tahun KanWork mendampingi mereka yang terkesan dengan kanser.

"Kami mahu masyarakat faham bahawa gaya hidup aktif boleh menjadi permulaan kepada pencegahan penyakit. Dengan berjalan, kita juga membina semangat dan kesedaran bersama," ulasnya.

Selain itu, Nor Aida berkata, kemuncak sambutan adalah KanWork Charity Hi Tea pada 9 November di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan dijangka dihadiri oleh Penaung, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Beliau menjelaskan bahawa pihaknya turut menjalin kolaborasi dengan Hospital Putrajaya, KPJ Damansara Specialist Hospital dan Columbia Asia Bukit Rimau melalui program sokongan pesakit ‘KanWork Di Sini’.

"KanWork juga bekerjasama dengan pusat-pusat perubatan lain seperti Institut Kanser Negara, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Hospital Beacon dan Hospital Picaso.

"Selain itu, sukarelawan turut terlibat menyokong pesakit dan keluarga dalam membuat keputusan sepanjang tempoh rawatan, berkongsi pengalaman secara individu atau melalui aktiviti kumpulan sokongan.

"KanWork juga menyediakan bahan pendidikan kanser seperti Buku Pemakanan Pesakit Kanser sebagai panduan dan rujukan. Orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan amat dialu-alukan untuk mendaftar dan turut serta dalam usaha murni ini,” jelasnya.

KanWork bersedia menyokong mereka yang terkesan dengan kanser dan mengalu-alukan sumbangan bagi menjayakan aktiviti persatuan.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai program boleh menghubungi talian bebas tol KanWork di 1-800-22-8672 untuk maklumat lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!