Lelaki hilang di Bera ditemui buat kecoh di Cameron Highlands

CAMERON HIGHLANDS – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 22 Mei lalu di Triang, Bera, dipercayai mengalami masalah kesihatan mental, berjaya ditemui semula di kawasan Centrum, Brinchang, di sini pada malam Rabu.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, lelaki berusia 42 tahun itu ditahan selepas menerima aduan orang awam yang memaklumkan tentang kehadiran individu berkelakuan mencurigakan dan membuat bising kira-kira jam 11 malam.
"Pihak kami menerima panggilan awam dan segera menghantar pasukan rondaan cegah jenayah ke lokasi. Ketika tiba, lelaki itu bertindak agresif dan enggan memberi kerjasama," katanya.
Menurut Azri, anggota bertugas terpaksa menggunakan kekerasan minimum ketika menahan lelaki berkenaan demi memastikan keadaan terkawal.
"Hasil semakan mendapati lelaki itu adalah individu yang dilaporkan hilang di Bera berdasarkan satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Triang," ujarnya.
Polis kemudiannya menghubungi ahli keluarga mangsa sebelum membawanya ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut.
"Lelaki tersebut telah diserahkan kepada keluarganya dan dibawa pulang ke Bera," jelas beliau.
Dalam perkembangan sama, Azri memaklumkan pihaknya sedang mengesan seorang individu tidak dikenali yang dilihat menumbuk lelaki terbabit sebagaimana dipaparkan dalam satu video yang tular di media sosial.
"Individu berkenaan diminta tampil segera bagi membantu siasatan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan juga diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

