Sindiket seleweng LPG tumpas, nilai rampasan lebih RM50,000

SEREMBAN - Sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi yang dikesan menjadikan sebuah stor haram di Mantin di sini untuk menjalankan aktiviti mereka dibongkar pihak berkuasa, Jumaat lalu.
Dalam serbuan dilakukan, pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan turut berjaya menahan lima individu termasuk dua lelaki warga asing.
Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan di bawah Ops Gasak 2025 itu dijalankan hasil dari risikan selama seminggu.
"KPDN mendapati premis berkenaan aktif menjalankan kegiatan pemindahan gas bersubsidi ke dalam tong yang tidak dibenarkan, terutamanya pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa
"Dalam operasi ini, pasukan serbuan telah berjaya merampas lebih 150 tong LPG pelbagai jenama dan saiz, peralatan decanting serta beberapa dokumen perniagaan yang disyaki digunakan dalam urusan penyelewengan tersebut,"katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM50,000.
Tambah beliau, turut ditahan lima lelaki termasuk dua warga asing berusia 28 hingga 58 tahun.
"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
"Semua pihak diingatkan sebarang bentuk penyalahgunaan barang kawalan bersubsidi merupakan kesalahan serius yang akan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas," katanya.
Jelas beliau, orang awam turut digesa untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan LPG atau barang kawalan lain melalui saluran rasmi KPDN.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

