Budaya membaca rakyat Malaysia masih rendah - PM

SHAH ALAM - Budaya membaca di negara ini masih berada pada tahap rendah dan belum benar-benar menjadi amalan harian rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara Madani berteraskan keyakinan cinta dan keyakinan ilmu sepatutnya bukan semata-mata mendengar syarahan atau lontaran maki hamun yang tidak berasaskan fakta atau pembacaan.
Menurutnya, dunia pada masa kini sangat mencabar dan memerlukan manusia berilmu memandangkan tiada satu pun negara maju cetek ilmu pengetahuannya.
"Misalnya negara China yang menekankan kepentingan teknologi baharu dan digital tetapi pada masa sama tidak mahu rakyatnya ketinggalan dalam ilmu dari segi jati diri.
“Sekolah-sekolah di China memperkukuhkan pengajaran sastera dan sejarah kerana itu adalah warisan yang mereka banggakan. Negara maju faham pentingnya ilmu dan budaya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutupan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Ahad.
Anwar turut melahirkan rasa kecewa kerana dalam keghairahan mengejar kejayaan masih terdapat pemimpin politik, golongan profesional, teknokrat dan pemikir mengabaikan perkembangan budaya yang lebih luas.
“Tidak jadi Madani sebab Madani bukan sahaja bersaing mengangkat martabat dan ekonomi kita tapi (turut angkat) budaya dan jadi diri.
"Saya harap pelajar dan anak-anak muda ambil berat hal ini untuk mengangkat martabat Malaysia supaya menjadi negara yang hebat di rantau ini dalam tempoh empat dan 10 tahun akan datang,
"Oleh itu, kita kena bersiap dan membaca sesungguh-sungguhnya," katanya.
Beliau berkata, banyak polemik ekonomi dan politik negara pada hari ini tidak berasaskan ilmu.
"Lihat sahaja polemik ekonomi (dan) politik negara kita tidak ada asas ilmu, tidak membaca (tetapi) hanya sentimen marah dan benci.
"Kalau setuju, bodoh sepertimana pun tetap baik, sebab tiada ilmu di situ," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

