Karangkraf buka ruang penerbitan karya Inggeris

KUALA LUMPUR - Buat julung kalinya, Grup Buku Karangkraf (GBK) memecahkan tradisi dengan membuka ruang khas penerbitan buku dalam bahasa Inggeris secara rasmi bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025.
Inisiatif itu disifatkan sebagai fenomena baharu dalam dunia penerbitan buku apabila manuskrip bahasa Inggeris kini dibuka sepanjang tahun untuk penyerahan oleh mana-mana penulis.
Editor Bahasa Inggeris GBK, Nur Layli Khayandari Mohamed Ain berkata, langkah tersebut membuka lebih banyak peluang kepada penulis tempatan untuk menghasilkan karya dalam bahasa Inggeris dan menerbitkan penulisan bersama Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) sekali gus menembusi pasaran antarabangsa.

“Kalau sebelum ini GBK cukup sinonim dengan karya penulisan bahasa Melayu, tahun ini angin perubahan mula bertiup apabila kita buka ruang kepada penulis yang berminat menghasilkan penulisan bahasa Inggeris.
“Setakat ini, kita sudah menerbitkan sekurang-kurangnya empat karya iaitu Letters to My Sisters, A Journey Through Betrayal and Back, Why The Hate? dan Tragic Loss, di mana kesemuanya merupakan buku dalam kategori bukan fiksyen yang menyentuh tema Islam serta kesedaran kesihatan mental.

“Disebabkan itu juga, kami membuka peluang kepada penulis berbakat di luar sana yang ingin menerbitkan karya bahasa Inggeris masing-masing untuk menghantar manuskrip bila-bila masa sahaja sepanjang tahun ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di reruai GBK sempena PBAKL 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Sempena PBAKL yang berlangsung hingga 1 Jun ini, GBK menawarkan harga diskaun hingga 40 peratus bagi pembelian buku.
Dalam pada itu, Nur Layli berkata, terma dan syarat mengenai penghantaran manuskrip bahasa Inggeris akan diumumkan secara rasmi selepas berakhirnya PBAKL menerusi platform GBK termasuk Instagram Kumpulan Media Karangkraf.

Dalam pada itu, salah seorang penulis baharu, Muhammad Danial Jazmi, 18, muncul sebagai penulis paling muda yang mengetengahkan karya bukan fiksyen dalam bahasa Inggeris di bawah terbitan GBK.
Buku pertamanya berjudul Why The Hate mengangkat suara remaja dengan menyentuh aspek emosi, cabaran identiti dan realiti kehidupan yang jarang dibicarakan secara terbuka.
“Saya mula berjinak-jinak menulis sejak berumur 12 tahun. Pada 2017, ibu saya ada tanya hendak hasilkan buku atau tidak dan dari situ bermulalah perjalanan saya sebagai penulis.
“Mengenai buku Why The Hate pula, ia merupakan hasil gabungan kisah hidup saya, menjadikan ia sangat dekat dan sesuai untuk bacaan golongan remaja pada hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bersempena dengan PBAKL 2025, GBK turut mencuri perhatian ramai apabila menampilkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam sesi Meet and Greet bersama peminat.
Kehadiran tokoh muda itu bukan sekadar untuk bertemu pengunjung malah bertujuan mempromosikan buku beliau bertajuk Jalan Tegak yang mengisahkan perjalanan hidup dan liku dunia politik dilaluinya sejak awal penglibatan.

Sesi tersebut berlangsung dengan penuh meriah apabila pengunjung turut disajikan dengan penampilan istimewa pelakon dan penyanyi terkenal tanah air, Bella Astilah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

