Karangkraf tampil 50 judul baharu sempena PBAKL 2025
Karangkraf Lancar 50 Judul Baharu di PBAKL 2025, Tarikan Pelbagai Genre

KUALA LUMPUR – Grup Buku Karangkraf menampilkan 50 judul terbaharu yang diterbitkan sepanjang Januari hingga Mei tahun ini, merangkumi pelbagai genre termasuk novel, buku agama, biografi, buku umum dan bacaan kanak-kanak.
Pengurus Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Azzah Abdul Rahman berkata, kesemua buku tersebut dilancarkan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), bermula Jumaat hingga 1 Jun ini.
“Ini kali pertama kami menampilkan sebanyak 50 judul baharu dalam satu masa. Ia meliputi pelbagai kategori antaranya karya bestseller, buku agama, novel Karangkraf K-Lit, buku umum, buku kanak-kanak, serta buku remaja dan pra-remaja,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.
Menurut beliau, antara tumpuan utama ialah tiga judul pilihan iaitu Why The Hate, Kianat, dan Al-Fusanatin II: Islam, Muslim & Crisis.
Why The Hate merupakan salah satu daripada empat judul pertama Karangkraf dalam bahasa Inggeris, ditulis oleh penulis muda, Danial Jasmy, yang berusia 18 tahun.
“Buku berharga RM25 senaskhah ini merupakan luahan jujur perasaan remaja yang ingin difahami oleh orang dewasa.
“Ia turut disertakan dengan ilustrasi hasil tangan penulis sendiri dan sesuai dibaca oleh ibu bapa yang ingin lebih memahami tekanan emosi remaja masa kini,” jelasnya.
Sementara itu, Kianat merupakan novel thriller hasil karya Ahmad Erhan yang mengangkat kisah operasi rahsia pasukan komando.
“Plotnya berkisar mengenai pembelotan dalam kalangan anggota komando yang membunuh rakan sepasukan dan melarikan diri ke Thailand dengan bekalan dadah, sebelum diburu oleh pasukan sendiri hingga membawa kepada ‘plot twist’ yang mengejutkan.
“Buku ini menjadi antara bestseller sepanjang pesta buku dan dijual pada harga RM35 senaskhah,” katanya.
Bagi peminat sejarah, buku Al-Fusanatin II: Islam, Muslim & Crisis tulisan Ibnu Rijal menarik perhatian ramai pengunjung dan mencatat jualan tertinggi di reruai Karangkraf setakat hari keempat PBAKL.
“Al-Fusanatin II menghimpunkan pelbagai kisah sejarah penting dari kejatuhan Empayar Uthmaniyah, penjajahan Perancis ke atas Mesir, konflik Arab-Israel, kemunculan gerakan seperti Wahabi, Ikhwanul Muslimin, Nahdlatul Ulama dan Muhammadiyah di Indonesia.
“Keunikan buku ini ialah gaya penulisannya yang santai dan mudah difahami, menjadikannya menarik walaupun berbentuk sejarah,” katanya.
Azzah memaklumkan buku tersebut dijual pada harga RM32 dan merupakan kesinambungan daripada buku pertama yang mencatat jualan melebihi 30,000 naskhah.
Karangkraf turut memperkenalkan semula novel remaja dan, buat kali pertama, menerbitkan novel seram pra-remaja yang menyasarkan pembaca berusia antara 7 hingga 12 tahun.
Setakat ini, sebanyak tiga judul telah diterbitkan yang merupakan siri novel seram ringan dengan pengisian nilai murni serta pengajaran yang sesuai untuk golongan muda. Sambutan terhadap segmen ini juga amat menggalakkan.
Mengulas mengenai promosi, Azzah memaklumkan bahawa semua pengunjung layak menerima diskaun 15 peratus, manakala ahli VIP Karangkraf pula menikmati potongan harga sehingga 20 peratus.
“Yuran keahlian hanya RM10 seumur hidup dan boleh digunakan di PBAKL, Karangkraf Mall serta jualan gudang anjuran syarikat ini,” ujarnya.
INFO:
Judul bestsellers PBAKL 2025
#1 Alfu Sanatin 2
#2 Jalan Tegak
#3 Alfu Sanatin 1
#4 Memburu Jiwa Tenang
#5 Khianat
#6 Anding Ayangan III Hikayat 2
#7 Aithusa
#8The Klang
#9 Siri Haiwan Peliharaan: Miau Miau
#10 Novel Seram Praremaja: Hantu Dewi Laut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

